Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menegur sikap pengguna jalan raya yang tidak menjaga kebersihan susulan isu sampah yang memenuhi lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Pahang ketika peranantau pulang berhari raya.
Wan Rosdy dipetik Bernama berkata beberapa tong sampah telah disediakan di kawasan yang dikenal pasti menjadi masalah pembuangan sampah-sarap oleh pengguna jalan raya khususnya ketika musim perayaan.
“Saya menyeru kepada pemandu supaya mereka sebolehnya janganlah membuang sampah di merata-rata tempat.
“Carilah lokasi yang sesuai,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kuantan, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial masalah sampah yang memenuhi laluan LTU dengan sesetengah pihak membangkitkan masalah itu antara lain didakwa kerana tiada kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya tersebut.
Bagaimanapun, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid sebelum ini berkata ketiadaan kemudahan hentian R&R tidak boleh dijadikan alasan bagi pengguna lebuh raya membuang sampah sesuka hati terutama ketika singgah berehat di tepi laluan tersebut.
Dua lokasi bina R&R
Kata Sharudin, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna itu bukan sahaja mencacatkan pandangan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata dua lokasi dikenal pasti sebagai cadangan pembinaan kawasan R&R di LTU di Pahang bagi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Dia berkata dua lokasi yang dicadang itu adalah di antara laluan Bentong ke Raub dan Kampung Kechau Tui di Lipis.
"Ketika ini, status peranancangannya adalah dalam tindakan Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), KKR (Kementerian Kerja Raya), majlis daerah, serta kerajaan negeri sebab ia melibatkan tanah," katanya.
Kata Wan Rosdy, R&R itu diharap dapat dibina secepat mungkin namun projek tersebut perlu melepasi pelbagai peringkat termasuk kelulusan daripada agensi dan kementerian berkaitan.
“Perkara ini (pembinaan R&R) tidak boleh disiapkan dalam masa terdekat kerana memerlukan peranancangan, kelulusan sana-sini dan peraturan kita tidak kompromi, kena ikut termasuklah membuat kajian tempat yang strategik.
“Kita akan usahakan dan mengharapkan ia dapat disegerakan,” katanya.
Wan Rosdy juga berkata pengendali R&R tersebut belum diputuskan dan bergantung kepada keputusan LLM selain menambah, buat masa ini tidak ada peranancangan untuk mengenakan tol di LTU.