Gabungan perpaduan Pakatan Harapan (PH)-BN mampu mencipta kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang jika tiada formula mengarut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata bagaimanapun apa yang menjadi cabaran kepada kerajaan perpaduan hari ini adalah sama ada mereka mampu kekal bersama ataupun hanya bertahan sepenggal sahaja.
"Saya setuju dengan Liew Chin Tong, PRU-16 adalah medan sebenar untuk kerajaan perpaduan. Mampukah ia kekal atau hanya sepenggal.
"Ujiannya di PRU-16. Ia melibatkan pembahagian kerusi, persefahaman jentera dan manifesto. Kuncinya ‘trust’. Jika momentum (pilihan raya kecil DUN) Mahkota kekal dan terus diperbaiki tidak mustahil kerajaan perpaduan menang besar," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada PRK DUN Mahkota 28 Ogos lalu menyaksikan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.
Kemenangan DUN Mahkota dianggap sebagai formula terbaik untuk gabungan PH-BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun polemik tercetus apabila Ahli MKT Umno, Nur Jazlan Mohamed menuntut PH memohon maaf kepada Umno sehingga mengundang pertikaian dalam kalangan pemimpin PH.
Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meredakan keadaan dengan meminta pemimpin Umno supaya berhenti "mengusik" rakan komponen kerajaan perpaduan.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, dalam tempoh yang ada kini kerajaan perpaduan perlu menunjukkan pencapaian baik kepada rakyat.
Bagaimanapun katanya, bagi Umno pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak tetap menjadi agenda utama.
"Apatah lagi jika tempoh hingga bulan Disember 2027 tidak dipersia-siakan. Menteri dan kerajaan mesti buktikan kepada rakyat mereka berprestasi tinggi.
"Tidak ada formula karut dan jadi bahan jenaka. Bagi Umno, isu Najib tetap isu utama," katanya lagi.