Pindaan hak kewarganegaraan: ‘Wanita asing boleh jadi tiada kerakyatan’

Shopee Sale

Cadangan pindaan perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan turut mendapat kritikan Gerakan hari ini, yang menyifatkan ia berisiko mendatangkan keburukan kepada wanita asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan, serta kanak-kanak.

Presidennya Dominic Lau membangkitkan cadangan peruntukan untuk melucutkan status kewarganegaraan wanita dari negara luar jika dia bercerai dalam tempoh dua tahun selepas mendapat kerakyatan.

"Malaysia sebuah negara yang tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan, (maka) pindaan dan situasi ini memerangkap mereka dan memberi kesan kemungkinan untuk mereka tiada kerakyatan mana-mana negara.

"Saya juga ingin bertanya adakah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Nancy Shukri) telah bersuara untuk menentang ketidakadilan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lau merujuk cadangan pindaan terhadap Perkara 26(2) Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan Perkara 15(1).

Perkara 15(1) menyatakan wanita bukan warga Malaysia boleh memohon status kewarganegaraan jika dia berkahwin dengan rakyat Malaysia, tertakluk kepada syarat tertentu.

Perkara 26(2) pula menyatakan kerajaan boleh menolak permohonan itu jika mendapati perkahwinan telah dibubarkan dalam tempoh dua tahun dari "tarikh perkahwinan".

Pindaan itu ingin mengubah perkataan "tarikh perkahwinan" kepada "tarikh mendapat kewarganegaraan".

Ini bermakna kerajaan boleh membatalkan kewarganegaraan yang diberikan kepada isteri dari negara luar jika perkahwinannya dibubarkan dalam tempoh dua tahun selepas dia mendapat status kewarganegaraan tersebut.

Boleh disalah guna

Pada 11 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan cadangan pindaan itu yang telah mendapat kritikan sejumlah pihak.

Dia turut mempertahankan pindaan berkenaan hak kewarganegaraan untuk anak terbuang, dengan berkata ia untuk mengelakkan daripada disalah guna warga asing.

Saifuddin Nasution Ismail

Menurutnya, ada kes di mana pasangan warga asing meninggalkan anak mereka yang baru lahir di hospital kerajaan.

Dia mendakwa perkara itu dilakukan secara sengaja agar anak tersebut secara automatik mendapat kewarganegaraan Malaysia, mengikut Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun sejumlah aktivis menepis kenyataan itu, antaranya Pengarah Perlindungan Sosial Persatuan Jaringan Pembangunan Sumber Manusia Luar Bandar (DHRRA) Maalini Ramalo.

MENARIK:  Kes warga Israel: Polis akan ambil tindakan terhadap beberapa individu - menteri

Menurut Ramalo, Seksyen 19B - seperti dipetik Saifuddin - tidak terpakai kepada bayi warga asing yang "ditinggalkan" di hospital.

"Jika jelas ibu bapa tersebut adalah warga asing, maka kerajaan sepatutnya ambil langkah sewajarnya. Jika kerajaan ada maklumat jelas menunjukkan ibu dan bapa itu warga asing dan telah abaikan anak, mengapa (kerajaan) tak dapat kesan mereka?

"Ini dengan mengambil kira tanggungjawab kerajaan untuk mengawal sempadan dan memantau pergerakan migran - aspek yang berkait secara langsung dengan penguatkuasaan undang-undang," katanya.


PANDUANKINI | Pindaan perlembagaan akan burukkan lagi isu tiada kerakyatan?


Berkenaan isu anak terbuang, Lau mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia menandatangani Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak, justeru bertanggungjawab untuk membantu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk mendapat status itu.

"Jika kita teliti, kebanyakan kanak-kanak tanpa kerakyatan sesuai dengan definisi sebagai rakyat Malaysia.

"Mereka bertutur Bahasa Malaysia, mengamalkan adat resam kita, dan dalam beberapa kes kanak-kanak tersebut tidak dapat menikmati hak kewarganegaraan kerana keadaan di luar kawalan mereka.

"Kerajaan diberi kuasa untuk memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan mereka melalui Perkara 15A, dengan mendaftarkan mereka yang berumur bawah 21 tahun selepas mengambil kira keadaan mereka," kata Lau.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular