Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam bersetuju menangguhkan pengundian parti selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), menurut sumber.
Tiga sumber yang menghadiri mesyuarat semalam mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.
"Betul. MPP setuju tangguh pengundian parti selepas PRU16.
"Maklumat lanjut akan dijelaskan kepada perwakilan parti dalam kongres tahunan yang dijadual diadakan di Johor pada Disember ini," kata seorang sumber dengan syarat namanya tidak didedahkan.
Mereka bagaimanapun tidak menjelaskan jika perlembagaan parti perlu dipinda bagi membolehkan pengundian ditangguhkan.
Pemilihan PKR kali terakhir diadakan pada Julai 2022 bagi penggal 2022-2025.
Sementara itu, sumber tidak menjelaskan jika penangguhan itu membawa maksud PRU16 akan diadakan lebih awal daripada 2027, iaitu tahun tamatnya penggal pentadbiran kerajaan semasa.
"Ini kamu perlu tanya bos (Presiden PKR Anwar Ibrahim). Mungkin ada banyak perkara di sebalik keputusan ini.
"Apa yang penting parti perlu menjadi satu pasukan untuk menghadapi PRU akan datang," kata seorang lagi sumber.
Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR yang baru, Fuziah Salleh untuk mendapatkan pengesahan.
Pada 2021, PKR pernah menangguhkan pengundian parti selama tempoh tidak melebihi 18 bulan.
Menurut PKR pada masa itu, ada bahagian dalam perlembagaan parti yang membolehkan pengundian ditangguh selama tidak lebih 18 bulan.