Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk mengutamakan isu yang lebih penting seperti ekonomi dan pelaburan berbanding polemik politik.
Berucap kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, Anwar membandingkan lawatan kerjanya di German minggu lalu dengan isu yang menjadi tumpuan di Malaysia mutakhir ini.
“Saya bincang masalah pelaburan (di luar negara) tapi balik Malaysia (isu) bak kut teh, isu buka kantin sekolah bulan Ramadan.
“Itu hangat diperkatakan seolah-olah ia isu hidup mati maruah kita, saudara tahu inilah keadaan dia,” katanya.
Justeru, Anwar menggesa semua pihak untuk berwacana tentang hal-hal yang lebih "sihat dan segar".
Selain isu pewartaan Bak Kut Teh sebagai Warisan Negara, baru-baru ini isu operasi kantin di sekolah sepanjang Ramadan timbul sekali lagi apabila ada pihak yang membantah arahan Kementerian Pendidikan agar ia dibuka bagi kemudahan pelajar bukan Islam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar bukan Islam makan dengan selesa, bukannya di tempat serprti stor.
Sementara itu, Anwar mengingatkan umat Islam agar menghayati semangat Ramadan dengan memperbaiki disiplin diri dan membantu golongan kurang bernasib baik.
Dia berkata, Ramadan seharusnya "mengetuk pintu hati nurani" antaranya untuk meningkatkan usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Sebab itu ada kupasan alim ulama yang menyatakan Ramadan ini mengupas permasalahan etika yang lebih luas...dan tentunya disiplin diri, benda yang (kita) boleh makan, benda kita tak boleh makan, benda harus yang kita boleh buat, tapi kita tak buat.
"Ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa, tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin? Bagaimana dalam Ramadan masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah? Maknanya penghayatan tidak ada,” katanya seperti dipetik Bernama.