Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan menyoal jika calon PN Mohamad Haizan Jaafar mampu berkhidmat dengan baik jika dipilih, memandangkan pembangkang telah menolak perjanjian MOU yang membolehkan wakil rakyat mereka menerima dana pembangunan kawasan.
"Saya nak bertanya kepada PN, kalau dia menang pun dia boleh buat apa? Kan?
“Kalau dia menang pun apa yang dia dapat? Rakyat takkan dapat apa-apa. Sebab apa? Kerajaan akan beri peruntukan kepada wakil rakyat kerajaan. Itu satu.
"Yang kedua, kita lihat bagaimana PN yang menolak MOU sedangkan kami diperingkat Kerajaan Persekutuan telah menyediakan satu memorandum ataupun deraf kerjasama ataupun deraf MOU tadi untuk mereka semak, baca dan jawablah. Bukan tolak,” kata Aminolhuda ketika ditemui selepas majlis ceramah dan memperkenalkan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah di sebuah medan selera di Kluang semalam.
Memorandum persefahaman (MOU) itu menetapkan syarat-syarat yang perlu diterima oleh ahli parlimen PN untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan parlimen, terutamanya peruntukan yang sama dengan penyokong kerajaan.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata PN telah menolak perjanjian itu kerana mendakwa sesetengah syarat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai tindak balas, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mendedahkan draf cadangan itu dan menegaskan dakwaan Hamzah tidak berasas.
Aminolhuda turut menolak cadangan Ketua Penerangan PN Azmin Ali supaya BN Johor melibatkan pemimpin PH dalam pentadbiran negeri.
Menyifatkan Azmin sebagai "mengulang isu lama", Aminolhuda berkata Amanah memandang kepentingan yang lebih besar dalam menyokong BN.
"Kami Amanah telah mengutarakannya sejak awal, pada akhir tahun lepas tentang kerajaan perpaduan kenapa tidak wujud (di negeri) sedangkan di peringkat federal dia wujud
"Tapi kami ini memahami bahawa kami ada pemimpin. Pemimpin yang lebih tinggi bukan saja di peringkat Amanah tetapi di peringkat Pakatan Harapan di mana presiden ataupun pengerusi Pakatan Harapan adalah Perdana Menteri PMX (Anwar Ibrahim) itu sendiri.
"Kita melihat perkara yang lebih besar. Big picture itu is the our government federal government," katanya.
Semalam, Azmin menyoal Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sama ada Umno akan menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu atau tidak jika menang kerusi Mahkota.
“Pakatan Harapan, PKR, DAP, dan Amanah menyokong Umno sejak dua tahun lalu dan mereka tidak mendapat apa-apa. Di mana semangat perpaduan di Johor?
"Sebab itu saya cabar Onn, menteri besar, untuk menjawab apakah sekranya mereka (Umno) dapat mengekalkan Mahkota, mereka akan membentuk kerajaan perpaduan selaras dengan kerajaan persekutuan?” soalnya.
Semua 11 anggota exco Johor daripada BN, yang dilantik selepas pilihan raya negeri Mac 2022 dan sebelum pilihan raya umum ke-15 yang menyaksikan PH bekerjasama dengan BN.
[Baca berita asal]