Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh pengawal peribadi seorang kerabat diraja di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis membuka kertas siasatan setelah mangsa, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, membuat laporan polis.
"Saya mengesahkan mangsa telah membuat laporan polis. Kita masih menyiasat dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman, Kuala Lumpur pagi tadi.
Dia diminta mengenai dakwaan pengawal peribadi seorang kerabat diraja menyerang mangsa.
Insiden tersebut tular media sosial sejak semalam.
Shuhaily tidak mendedahkan nama kerabat diraja tersebut.
Bagaimanapun media melaporkan identitinya sebagai pengawal peribadi Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Brickfields, Kuala Lumpur.
Pengawal peribadi itu didakwa memukul pemandu OKU berusia 46 tahun dan mengarahkannya mengalihkan kenderaan yang menunggu di lobi sebuah hotel lima bintang, tidak jauh dari KL Sentral.
Mangsa yang pekak mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan membuat laporan polis.
TheSun melaporkan polis merampas telefon dan kamera keretanya bagi membantu siasatan.