Polis menyiasat mesej pesanan untuk sebuah kedai pizza di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang menghina Islam.
Kes disiasat Dibawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan melukakan perasaan agama serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, mengaibkan atau menghina)
Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata mereka menerima laporan polis kira-kira jam tiga petang semalam.
"Pihak polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.
Menurut resit yang tersebar, seorang pembeli atas talian meninggalkan pesanan menghina Islam pada tempahannya.
Tangkap, seru Adun
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz turut mendapatkan penjelasan kedai pizza itu.
Dia yang juga timbalan speaker Pulau Pinang mendapati bahawa nota itu bukan dibuat oleh pekerja mereka.
“Ramai yang salah faham seperti saya juga pada awalnya yang menyangkakan resit berkenaan dijana oleh juruwang Domino.
“Sebenarnya resit yang ditularkan itu adalah resit tempahan secara atas talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahguna oleh ‘pemprovokasi’ tersebut,” katanya di Facebook.
Mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membuat laporan polis, dia berkata pihak yang cuba melakukan provokasi 3R (agama, raja dan kaum) itu segera ditangkap.
“Saya juga berharap agar masyarakat juga kekal tenang dan tidak termakan dengan provokasi ini.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk selesaikan. Insya-Allah,” katanya.