Prasarana sedia cari penyelesaian adil dengan mangsa insiden 2021

Shopee Sale

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedia merundingkan penyelesaian adil buat mangsa kemalangan tren LRT pada 2021, kata syarikat milik kerajaan terbabit hari ini.

Kata Prasarana sejurus selepas kemalangan itu berlaku Prasarana menghubungi semua mangsa yang terlibat dan menawarkan bantuan kewangan serta kaunseling.

Antara bantuan kewangan yang diberikan, katanya, ialah perbelanjaan perubatan dan rawatan susulan kepada semua mangsa.

"Daripada (semua) penumpang yang terjejas, 90 individu menerima bantuan kewangan dan beberapa tuntutan telah diselesaikan secara baik," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Penjelasan itu menyusul selepas bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong yang menuntut kerajaan untuk mencari penyelesaian segera terhadap kes saman seorang penumpang wanita terhadap Prasarana.

Wee yang juga Presiden MCA berkata, penumpang berkenaan, Florence Lee, menjadi mangsa tragedi pengangkutan awam negara da mengalami kecederaan fizikal serta emosi yang serius.

Wee Ka Siong

“Ditekankan, ini bukan salah Florence Lee, sebaliknya beliau adalah mangsa tragedi pengangkutan awam negara kita.

“Kecederaan yang dialami beliau dari segi fizikal dan emosi amat serius, tambahan lagi ia bukan berpunca daripada kecuaian sendiri.

“Beliau selaku mangsa hanya meminta pampasan untuk kehilangan pendapatannya dan juga untuk membayar kos rawatan, yang berjumlah RM113,524.08.

“Ini satu permintaan yang munasabah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Komited mahu selesaikan

Untuk rekod Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu menetapkan tarikh perbicaraan saman terhadap Prasarana sebagai pemilik sistem LRT dan pengendalinya, Rapid Rail Sdn Bhd, akan bermula pada 10 Jan 2028.

Lee, 57, mendakwa nahas itu berlaku akibat kecuaian defendan selain pelanggaran kewajipan statutori.

Dia menuntut ganti rugi khas RM113,524.08, termasuk RM84,372.58 bagi perbelanjaan perubatan, fisioterapi, dan pemulihan, selain ganti rugi am, teruk dan teladan mengikut penilaian mahkamah.

Wee berkata, setelah tiga tahun penderitaan dialami Lee, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya menyusahkan mangsa itu lagi.

“Ini dengan memaksanya menanggung kos perundangan sementara menunggu kes dibawa ke mahkamah empat tahun lagi iaitu pada tahun 2028.

MENARIK:  'Abang Bas' menangis selepas pertuduhan dibacakan

“Justeru, saya menggesa kerajaan supaya segera berjumpa beliau, menilai tuntutannya dan memilih untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan membayar pampasan yang wajar kepadanya,” katanya lagi.

Wee menambah Anwar yang juga menteri kewangan boleh mencari penyelesaian terbaik memandangkan Prasarana dan Rapid Rail adalah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Mengulas lanjut, Prasarana berkata mereka sedia berunding dengan semua mangsa yang terlibat dan komited untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Prasarana ingin menegaskan semula kesediaannya untuk terus mencari resolusi yang adil terhadap perkara ini dan sedang mengambil langkah-langkah untuk berunding dengan pihak yang terlibat.

"Sebagai pengendali syarikat transit yang bertanggungjawab kepada orang awam, Prasarana komited untuk menyelesaikan perkara ini dan akan terus terbuka kepada cadangan resolusi berdasarkan terma yang munasabah," tambahnya.

Dalam kemalangan yang berlaku pada 24 Sept 2021 lalu, sebuah tren laluan Gombak bertembung dengan sebuah lagi tren laluan Kelana Jaya.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam itu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular