Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Raduan Che Ros, berdepan tujuh pendakwaan pecah amanah berjumlah RM271,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Dia yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Raduan sebagai Presiden MPN didakwa melakukan pecah amanah kerana menyalahgunakan peruntukan dengan meluluskan RM33,000 (pada 14 Mac 2023) dan RM38,000 (3 April 2023) ke dalam akaun CIMB milik Kefli Mahpol.
Bagi lima lagi pertuduhan lain, Raduan didakwa atas kapasitinya sebagai pengarah syarikat MPN Global Reach Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan terhadap wang pendahuluan bagi program UKM Shape-MPN Global Reach Sdn Bhd.
Dia didakwa menyalahgunakan wang pendahuluan untuk program tersebut - berjumlah RM200,000 - untuk dan diberikan kepada individu sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 5 hingga 15 April 2024.
Bagi kesemua pertuduhan itu Raduan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara di antara dua hingga 20 tahun serta denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah Raduan, timbalan pendakwa raya Law Chin Hau menawarkan jaminan RM70,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Namun, peguam bela Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dan meminta mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan atas alasan reputasi dan imej Raduan sebagai ahli akademik.
"Kami minta sedikit pertimbangan harus diberikan kerana tidak ada sekelumit mengatakan tertuduh menerima faedah peribadi daripada wang transaksi berkenaan.
"Saya mohon mahkamah turut menilai reputasi yang ada pada tertuduh yang beliau ingin pertahankan itu nilai beliau sebenar yang tidak boleh ditukar dengan wang ringgit," katanya dipetik laporan BH Online.
Raduan dalam rayuannya berkata, dia masih terkejut terhadap pertuduhan yang dihadapinya hari ini.
Hakim Anita Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkannya melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada setiap bulan.
Sementara itu, Kefli yang juga seorang penganggur turut berdepan tujuh pertuduhan bersuhabat dengan Raduan untuk melakukan pecah amanah terhadap semua jumlah yang dikaitkan dengannya.
Hakim menetapkan jumlah ikat jamin RM40,000 terhadapnya berserta syarat tambahan iaitu Kefli juga diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali sebulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 Okt depan untuk tarikh sebutan dan pengurusan kes berkenaan.