PRK KKB: Anak muda tak makan 'gula-gula politik' PH – Muslimat Muda PAS

Shopee Sale

Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu minggu lalu menunjukkan pengundi muda yang menyokong PN masih konsisten dengan pilihan raya negeri pada tahun lalu, kata sayap Muslimat Muda PAS.

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia Mardhiyyah Johari berkata 'gula-gula politik' yang ditawar PH tidak mampu membeli undi golongan muda.

“Sangat ironi apabila golongan muda tidak memberi undi kepada calon muda PH-BN kerana sedar calon daripada DAP mewakili kolisi yang memimpin Kerajaan Madani.

“Ternyata golongan anak muda tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani,” dakwanya seperti dilapor Harakah Daily.

Mardhiyyah mengulas laporan yang dikeluarkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) semalam.

Pengurus Kanan Penyelidikan IDE Khairul Ariffin Mohd Munir berkata PN memperolehi 63 peratus daripada pengundi yang berusia antara 18 hingga 24 tahun walaupun peratusan keluar mengundi kelompok itu terendah iaitu sekitar 53 peratus.

“Pengundi daripada kumpulan berusia 41 tahun ke atas merekodkan peratusan keluar mengundi yang besar melebihi 60 peratus manakala kumpulan muda adalah paling rendah iaitu kurang daripada 55 peratus,” kata Khairul Ariffin.

Penyelidikan IDE turut mendedahkan penurunan peratusan keluar mengundi sebanyak 7.7 peratus semasa PRK berbanding peratusan keluar mengundi tertinggi semasa PRU15 pada 2022, menurun kepada 61.5 peratus berbanding 76.9 peratus.

Bagi pecahan mengikut kaum, pengundi Melayu dan Cina mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 63 peratus manakala pengundi India pada 57 peratus.

Walaupun PN mendakwa menguasai pengundi Melayu, laporan itu menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PH-BN sebanyak tiga peratus daripada pengundi Melayu dan pengundi India lapan peratus.

Mardhiyyah yang memetik laporan NGO hak asasi manusia Amnesty International berkata kerajaan juga gagal memberi komitmen bagi menambah baik undang-undang mengekang kebebasan bersuara serta mengancam ruang awam.

“Isu ekonomi, pengangguran, pendidikan dan kos sara hidup sangat memberi kesan kepada golongan muda.

“Tidak cukup dengan tekanan sedia ada, diganggu pula hak asasi yang tidak sewajarnya disentuh iaitu kebebasan bersuara.

MENARIK:  Bas terbabas di lebuh raya Plus, 42 penumpang terselamat

“Kandungan-kandungan TikTok dipadam, pempengaruh Tiktokers disiasat, pemimpin-pemimpin pembangkang begitu mudah ditahan dan disiasat namun sebaliknya pula bagi pemimpin kerajaan.

"Anak muda melihat dan menilai,” katanya yang juga Adun Pengkalan Kundor.

Katanya lagi, Muslimat Muda PAS mengucapkan tahniah kepada pengundi muda Kuala Kubu Bharu yang menunjukkan prinsip tidak boleh dijual beli dengan ‘gula-gula politik’.

Pada 11 Mei lalu, PH mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang disandang selama tiga penggal menerusi calonnya Pang Sock Tao dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas setiausaha akhbar kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu meraih 14,000 undi menewaskan pencabarnya calon PN Khairul Azhari Saut yang memperolehi 10,131 undi, calon bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon PRM Hafizah Zainuddin (152 undi).

Pang meraih sebanyak 14,000 undi (57.2 peratus) manakala PN dengan 10,131 undi.

PRK KKB diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular