PRK MAHKOTA l Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan kepada masyarakat India di Johor bahawa kerajaan akan membina lebih banyak krematorium.
Zahid berkata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi telah menyampaikan permintaan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi satu panggilan telefon dan menyampaikan perkara itu kepadanya.
“Ini bukan janji politik, ini bukan janji kerana pilihan raya, tetapi ini adalah keperluan dan saya yakin Anwar pasti akan memberikan satu jawapan yang paling jitu untuk masyarakat India di Johor ini.
“Bukan itu saja tempat pembuangan abu mayat itu juga akan diusahakan.
“Kita mesti menghormati agama lain…,” katanya pada majlis bersama masyarakat India di Taman Sri Kluang malam tadi.
Katanya, dia juga melakukan sesuatu yang serupa di Bagan Datuk, kawasan parlimen yang diwakilinya.
Sementara itu, Onn Hafiz yang berucap sebelum Zahid, memohon bantuan timbalan perdana menteri itu supaya membina dua lagi krematorium di Johor dengan kos RM5 juta.
“Isu yang sangat penting untuk masyarakat India sekarang ini kalau ada kematian kita sudah tak cukup krematorium.
“Kalau ada pun bayarannya amat mahal. Jadi pada malam ini saya mewakili masyarakat India Johor memohon dan merayu agar diberikan sekurang-kurangnya dua krematorium berjumlah RM5 juta untuk masyarakat Johor,” katanya.
Kira-kira 600 orang yang sebahagian besar mereka adalah ahli MIC menghadiri majlis itu.
Turut hadir pada majlis itu ialah calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan presiden MIC SA Vigneswaran.
Syed Hussien dan calon PN Haizan Jaafar akan bertarung pada 28 Sept untuk merebut kerusi Mahkota, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.