Proses reformasi sedang berjalan, kata ahli PKR

Shopee Sale

Salah seorang watak yang terlibat dalam gerakan Reformasi berkata, perjuangan PKR membawa pembaharuan tidak pernah sia-sia bahkah kesannya sudah mula dirasai.

Kata Saiful Izham Ramli, tidak seperti difahami segelintir orang, reformasi yang diperjuangkan parti itu terus berlangsung dari semasa ke semasa di dalam kerajaan.

“Seperti yang kita lihat, walaupun kurang dari dua tahun (mentadbir negara), kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai perubahan yang berani seperti Dasar Gaji Progresif, Inisiatif Pendapatan Rakyat dan juga penstrukturan semula subsidi.

“Ia termasuk juga reformasi institusi dan yang paling ketara kita lihat ialah bagaimana Anwar sering menegaskan pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang kini sedang berjalan prosesnya,” kata bekas senator itu.

Tambah Saiful Izham pengkritik juga perlu memahami bahawa kerajaan perpaduan masih bertekad melaksanakan reformasi lain di sebalik hakikat PKR-PH berkongsi kuasa dengan BN yang membawa ideologi berbeza.

“Proses reformasi ini terus berlangsung walaupun PH tidak secara mutlak menguasai kerajaan ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Saiful Izham berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas naib presiden PKR, N Surendran, bahawa parti itu sudah kematian moral untuk berasa bangga meraikan keberadaannya.

Saiful Izham Ramli

Dalam ciapan di X semalam, Surendran juga menempelak PKR kerana menganggap segala pengorbanan dilakukan oleh penyokong parti itu suatu masa dulu - termasuk berdepan dengan risiko dipenjara - adalah sia-sia.

Menurut Surendran, sepanjang tempoh lebih dua dekad PKR bercakap mengenai pembaharuan namun keadaan berubah selepas mereka berkuasa sebagai kerajaan.

“Apa yang nak diraikan? Selama 25 tahun mereka menjanjikan pembaharuan. Apabila berkuasa - tak ada pembaharuan, cuma alasan,” katanya.

Saiful Izham yang juga seorang peguam kanan berkata, apa yang sia-sia sebenarnya ialah langkah tokoh tertentu yang mengkhianati PKR dengan menyertai parti lain pada 2020 demi menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Tak pernah tinggalkan idealisme

Bahkan, katanya, mereka bukan saja sia-sia malah boleh dianggap tidak bermoral.

“Mereka mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan peribadi, bagaimana pula kami yang setia kepada parti dituduh tidak bermoral?

“Jangan lupa, semasa menjadi pembangkang kami membuktikan ada nilai moral yang tinggi apabila sanggup berunding dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob untuk menandatangani perjanjian demi kestabilan politik,” katanya.

Saiful Izham kemudian menasihatkan Surendran agar bercermin diri terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan ke atas PKR dan berfikir mengapa dia hanya sepenggal dipilih mewakili kawasan parlimen Padang Serai.

“Bagi saya kenyataan dia bersifat peribadi kerana tidak puas hati dengan parti selepas ditolak PKR Kedah untuk bertanding semula di Padang Serai ekoran prestasi yang tidak memuaskan," katanya.

Mohammad Tawfik Yaakub

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub pula melihat kerajaan ini lebih mengutamakan reformasi ekonomi.

“Oleh  sebab itu pelbagai rancangan dan tindakan kerajaan hari ini melibatkan ekonomi negara seperti pelaksanaan Padu (Pangkalan Data Utama), penjimatan, serta lawatan perdana menteri ke luar negara dengan kerap untuk menarik pelaburan asing.

“Tetapi pada saya kerajaan perpaduan tidak pernah meninggalkan langsung usaha reformasi institusi yang diperjuangkan.

“Segelintir pengkritik kerajaan perpaduan kena berlaku adil mengeluarkan kenyataan dan jangan melepaskan 'peluru sesat' tanpa menyemak fakta dan menilai realiti semasa.

MENARIK:  Rasuah: Bekas pengurus bank di Kelantan direman lima hari

"Apa guna perubahan total secara tiba tiba tapi rakyat lapar dan ekonomi merudum?” katanya.  

Lau Zhe Wei

Sementara itu ahli akademik di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei, menegaskan memang lumrah untuk sesebuah parti politik berubah menjadi lebih berhati-hati selepas memegang kuasa walaupun sebelum itu mereka sangat keras dan idealis.

“Kita boleh lihat di luar negara tokoh seperti Aung San Suu Kyi, Jokowi, Justin Trudeau, dan Parti Progresif Demokratik di Taiwan - sewaktu menjadi pembangkang mereka sangat keras menegakkan prinsip namun apabila menjadi pemerintah, mereka mula lunak serta terbuka untuk berkompromi,” katanya.

Pun begitu Lau menganggap PKR masih lagi sebuah parti yang berusaha sehabis baik untuk melakukan reformasi serta mengangkat demokrasi namun berpendapat orang ramai perlu memahami mereka perlu menyesuaikan pelaksanaan itu dengan keadaan politik semasa.

“Misalnya isu terkait Ahmad Zahid Hamidi. Dari sudut moral ramai memandang presiden Umno itu tak layak berada dalam kabinet namun dari sudut politik, dia memang diangkat demi menjaga hubungan di antara PKR dan Umno.

"Tanpa Ahmad Zahid agak sukar kedua-dua parti itu bekerjasama,” katanya.

Perlukan sedikit masa

Ilham Centre pula melihat suara Surendran sebenarnya mewakili sekumpulan aktivis penggerak sivil merasakan yang kecewa apabila PKR kini dianggap larut serta tenggelam dalam kuasa sehingga tidak lagi mengusahakan reformasi yang dilaungkan dahulu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, memberitahu Malaysiakini, kelompok terbabit melihat  kerajaan terlalu terlalu perlahan serta apologetik dalam melaksanakan reformasi.

“Kumpulan itu juga berasa tersisih dalam proses perundingan dengan kerajaan walaupun sebelum ini mereka adalah sebahagian penggerak yang mendukung agenda reformasi dalam PKR mahupun PH,” katanya.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim, pula menjelaskan kerajaan sedang berusaha melaksanakan reformasi secara menyeluruh namun cepat atau lambat, proses itu bergantung kepada realiti semasa.

“Harus kita faham ada proses reformasi terutamanya melibatkan institusi seperti pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

"Ia memerlukan masa kerana melibatkan pindaan perlembagaan, libat urus dan perbincangan dengan pemegang taruh.

“Ada yang boleh disegerakan kita segerakan. Reformasi itu sendiri adalah proses yang sentiasa berjalan,” katanya yang juga setiausaha politik Anwar selaku menteri kewangan.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular