PRK KKB | Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan terkejut dengan dakwaan mantan menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin bahawa Lim Guan Eng menolak permintaan peruntukan pembinaan perumahan lima estet di Kuala Kubu Bharu ketika kerajaan PH pada 2018.
“PSM terkejut dan meminta penjelasan daripada Guan Eng yang merupakan bekas menteri kewangan,“ katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri KPKT Nga Kor Ming mengumumkan pembinaan perumahan kepada 245 peneroka dari Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Mary, Ladang Minyak dan Ladang Sungai Tinggi.
Projek itu adalah kerjasama KPKT dan Kerajaan Negeri Selangor.
Berjaya Corporation Bhd memberi tanah 20 ekar secara percuma untuk pembinaan.
Terdahulu, portal Malaysinow memetik Zuraida berkata projek perumahan itu tidak dapat diteruskan sebelum ini kerana ditolak oleh Guan Eng sebanyak dua kali sebelum ini.
“Dalam pengetahuan kami, kami tahu pada awalnya ada sedikit pertelingkahan antara KPKT dengan Berjaya Corporation dalam isu tender tetapi selepas itu isu ini selesai.
“Kami hanya mengetahui bahawa peruntukan tidak ada kerana Covid-19 tetapi kebanyakan tempoh Covid berlaku pada zaman Muhyuddin Yassin menjadi perdana menteri dimana Guan Eng bukan menteri ketika itu’” dakwa bekas ahli parlimen Ampang itu
Sementara itu, Arutchelvan berkata PSM juga menulis surat pada tahun 2022 kepada tiga menteri untuk diperuntukan Bajet untuk projek perumahan ini iaitu menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, menteri kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Reezal Merican (KPKT).
“Kami menuntut Guan Eng untuk memberi satu penjelasan tentang dakwaan ini atau menyaman Zuraida andaikata ini adalah dakwaan palsu.
“Kami juga sedar bahawa semua keputusan kabinet memang mempunyai minit mesyuarat dan kami berharap kebenaran isu ini boleh didedahkan untuk pengetahuan umum,” katanya.