Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil memulang paku buah keras terhadap kenyataan Puad Zarkashi yang menuding kekalahan PN pada PRK Mahkota kepada Isham.
Dia menyelar pemimpin veteran Umno itu, berkata "Puad tidak berkelakuan seperti seorang speaker Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya, sebaliknya bertindak seperti seorang cybertrooper murahan."
"Dia masih koyak yang ramai orang panggil dia pelajar kelas komunis.
“Padahal dia sendiri yang upload dalam Facebook dia yang dia masuk kelas komunis tetapi selepas itu dia malu dan meroyan-royan koyak robak bila orang panggil dia pelajar komunis," katanya pada hantaran di media sosial.
"Puad Zarkashi 'meroyan' lagi walaupun (BN) telah menang PRK. Dia menyalahkan saya atas kekalahan PN di Mahkota, mengatakan bahawa ia disebabkan oleh kempen saya.
“Tetapi saya langsung tidak pergi ke Mahkota sepanjang tempoh PRK," kata Isham.
Kedua-dua ahli politik itu saling menyerang sejak minggu lepas selepas Isham menuduh Puad dan rombongan ahli BN mempelajari komunisme semasa lawatan ke China baru-baru ini
Selepas BN berjaya menang besar PRK Mahkota di Johor pada hari Sabtu, Puad memuat naik mesej sindiran di Facebook mengejek PN dan Isham, mengajak pembangkang menghantar Isham belajar politik dari sekolah-sekolah politik di China.
Sementara itu, Isham pada hantarannya di Facebook terus menyindir Puad berkenaan kerjasama Umno dengan DAP.
Dakwanya lagi, Puad dan Umno telah tunduk kepada DAP dan komunisme.
"Kamu dan rakan-rakan kamu adalah pengkhianat perjuangan Melayu dan pengkhianat perjuangan Umno yang asal.
"Bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat," kata Isham.