Jarang-jarang, tetapi hari ini ia berlaku. Seorang pemimpin Umno bersependapat dengan pandangan diberikan tokoh PAS berkenaan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis.
Menyambut pujian diberikan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kepada Jailani, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mengakui Adun pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Melaka itu seorang 'Hang Jebat.'
Pun begitu Mohd Puad mengingatkan dalam Sejarah Melayu, watak Hang Jebat itu merujuk kepada seorang pahlawan yang menderhaka kepada raja.
“Maka Jailani memang penderhaka.
"Jangan terkejut selepas ini dia (mungkin) akan menderhakai PAS terutama jika PAS tidak membantu kos mahkamahnya.
"Dia disaman sebanyak RM100 juta oleh Umno kerana menjadi Jebat,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya hari ini.
Kenyataan Mohd Puad itu menyusul beberapa ketika selepas Malaysiakini melaporkan pujian diberi Nik Abduh kepada Jailani kerana menyertai PAS baru-baru ini.
Untuk rekod Jailani asalnya seorang ahli Umno sebelum meninggalkan parti tersebut untuk menyertai PKR. Bersama PKR Jailani menjadi calon PH dalam PRU ke-14 sebelum dilantik menjadi exco Melaka di bawah pimpinan Adly Zahari sebagai ketua menteri.
Keluar PAS masuk Bersatu
Bagaimanapun dia menjadi salah satu Adun yang membawa kepada jatuhnya kerajaan PH di Melaka apabila menjadi wakil rakyat bebas. Jailani kemudian kembali kepada Umno dan dicalonkan semula dalam pilihan raya negeri pada 2021.
Selepas kerajaan perpaduan dibentuk Jailani tidak sealiran dengan pemimpin Umno sebaliknya lebih dekat kepada PN menyebabkan dia digantung selama enam tahun.
Jailani menyertai PAS pada 16 Julai lalu. Langkah itu diikuti dengan tindak balas BN yang mengemukakan tuntutan pampasan RM100 juta kerana mengingkari ikrar yang ditandatangani Jailani sebelum menjadi calon dalam PRN Melaka kira-kira 32 bulan lalu.
Malam tadi Nik Abduh mengangkat Jailani sebagai Hang Jebat kerana meninggalkan Umno untuk menyertai PAS, malah ia dianggap sesuatu yang istimewa oleh ahli politik berkenaan.
Kata Mohd Puad walaupun dia 'bersetuju' dengan gelaran diberikan Nik Abduh, pada masa sama bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga salah kerana membuat kesimpulan begitu.
Mohd Puad yang juga Speaker DUN Johor berpendapat, orang yang lebih layak diberi gelaran Hang Jebat ialah calon PN di Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.
“Sepatutnya calon Bersatu di Nenggiri yang digelar Jebat kerana dia keluar PAS untuk jadi calon Bersatu.
“(Bahkan) dia menderhakai semangat akta antilompat parti,” tambahnya.