PULASAN | "Assalamualaikum," kata seorang lelaki yang tidak pernah dikenali si tuan tuan rumah, "ini rumah Razif?"
Tuan rumah yang baru pulang dari bandar itu mengangguk. Memang anaknya bernama Razif. Mereka - yakni tuan rumah - dan tetamu itu kemudian bersalaman. Matahari semakin terbenam menandakan Maghrib bakal menyapa tidak lama lagi.
"Saya nak cakap sikit tentang Razif," kata tetamu berkenaan selepas dia memperkenalkan diri. Ternyata mereka berada dalam kawasan kariah yang sama. Mereka berkongsi kawasan kejiranan yang sama.
Selepas mengajak masuk sebagai menghormati tetamu dan berbasa-basi, tetamu terbabit memulakan cerita. Dia meluahkan rasa terkilan - dan sudah tentu marah - apabila anaknya diganggu Razif hanya kira-kira sejam sebelumnya.
Daripada kisah yang diceritakan tetamu berkenaan, anaknya "ditangankan" oleh si Razif. Berdebar juga si bapa kerana dia tahu anaknya memang berpotensi untuk bertindak kasar atau melampaui batas.
Dalam kamus hidup remaja seperti Razif, hampir semua tindakannya ke atas orang lain itu gurauan, waima keterlaluan, keras dan menyakitkan.
Kadang-kadang tingkah lakunya macam budak-budak sekolah rendah sedangkan umurnya sudah hampir 20 tahun.
"Tapi, kami baru sampai saja dari Shah Alam ni," kata tuan rumah yang kebingungan. Bagaimana anak istimewanya itu memperlakukan sesuatu yang tidak wajar kepada budak sekolah rendah ketika jasad dan jiwanya berada di Shah Alam ketika kejadian itu didakwa berlaku.
Boleh cabar kesabaran
Muka tetamu itu kemudian kelihatan cuak. Giliran dia pula kebingungan. Si Razif sedang buat entah apa di dalam biliknya di tingkat atas. Sejak sampai dari Shah Alam tadi, macam biasa, di situlah dia menghabiskan masanya.
"Anak saya ni OKU... nah, ini kad OKU Razif," kata si tuan rumah, "tapi kami ni memang baru saja sampai."
Tetamu yang seorang itu melihat kad dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu dan wajahnya nampak tambah kebingungan, tetapi dia tetap cuba menyembunyikan rasa itu.
Dia kemudian meminta diri dan meminta maaf kerana mengganggu keluarga tersebut pada waktu senja. Dia berlalu dengan kereta yang sejak tadi diparkir di depan rumah Razif.
Dipendekkan cerita, memang si Razif suka mengganggu budak-budak yang datang ke surau taman perumahan tersebut. Kadang-kadang boleh mencabar kesabaran orang lain.
Cuma Razif yang agak nakal itu tidaklah tinggal di rumah yang didatangi si bapa kecewa. Dia menetap di rumah lain, dengan keluarga lain.
Ada dua Razif yang berbeza. Seorang Razif yang lebih muda dan lincah di surau manakala seorang lagi Razif mengalami autisme serta bergelut untuk hidup di tengah-tengah masyarakat yang selalu curiga, bersangka macam-macam.
Episod hidup si Razif itu sengaja dipetik di sini sebagai suatu cubaan menyedarkan orang ramai bahawa di sekitar kita ada begitu ramai insan yang perlu dilihat dengan mata manusiawi.
Tambahan pula kita masih terasa amat hiba membaca kisah bagaimana detik-detik akhir Muhammad Rosman Rohadi dan ibunya, Salmah Mat Zain, sebelum mereka hilang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, Padang Terap beberapa hari lalu.
Luang masa lihat dari dekat
Pedihnya hati ini tidak dapat dijelaskan ketika membaca bagaimana pasangan anak dan ibu itu mengharungi air selepas membeli nasi lemak.
Mungkinkah ketika itu mereka tidak sabar-sabar untuk pulang bagi menikmati sarapan dengan membayangkan keenakan nasi lemak di tangan?
Si anak itu dilaporkan pelajar yang dikategorikan sebagai mengalami masalah pembelajaran (dan ada kemungkinan dia anak autistik juga). Itu bermakna dia mungkin tidak mampu memproses maklumat dengan tepat dan - tanpa disengajakan - kemudian tersalah membuat pilihan.
Mungkin juga si ibu yang berkeras mahu segera pulang dan meranduk banjir. Sebagai anak, Rosman sekadar menurut tanpa menyedari mereka menghampiri takdir yang sudah ditetapkan.
Si Rosman itu sudah berusia 19 tahun dan masih bersekolah di Padang Terap. Dia merupakan pelajar yang mengikuti kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Jika kamu tidak biasa atau enggan peduli, PPKI itu menghimpunkan pelajar yang berkeperluan khas untuk mengikuti sistem pembelajaran negara. Anak-anak istimewa itu mempunyai pelbagai 'kekurangan' dan setiap seorang memiliki keunikan tersendiri.
Namun sistem pendidikan kerajaan sejak dulu memang menghimpunkan mereka di dalam satu persekitaran untuk mengikuti pembelajaran agar tidak ketinggalan.
Biasanya mereka akan dilayan dengan sebaik mungkin oleh para guru dan pembantu murid mengikut kemampuan masing-masing.
Jika anda ada keinginan mahu melunakkan hati, luangkanlah sedikit masa untuk melihat sendiri bagaimana kehidupan mencabar anak-anak PPKI yang ada di negara ini.
Ia salah satu cara memahami apa keperluan mereka yang cuba dipersiapkan dengan sebaik mungkin di sebalik kebimbangan para ibu bapa yang memikirkan nasib anak-anak mereka apabila ajal menjemput nanti.
Namun suka atau tidak, kita masih hidup dalam masyarakat yang ramainya enggan benar-benar peduli kepada golongan OKU. Perhatian dan kasih sayang kadang-kadang hanya diberikan pada ketika tertentu.
Namun kepandiran juga memungkinkan kita berdepan dengan pihak yang tidak mahu peduli banyak kepada nasib OKU. Ia mungkin melibatkan orang awam, orang tidak berkepentingan atau malah pihak kerajaan.
Dalam kes di Padang Terap tadi, mungkin juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Jumlah kian meningkat
Mari saya kisahkan bagaimana seorang pegawai KPM yang begitu skeptikal apabila ada cubaan berniat baik untuk membuat laporan mengenai program mereka yang melibatkan pelajar OKU.
Di sebalik niat jujur untuk menyebarluaskan inisiatif KPM, pegawai berkenaan sebaliknya enggan melayan pertanyaan berkenaan atas alasan pihak media mungkin akan memutar belit kenyataannya.
Lebih lucu apabila inisiatif tersebut sebenarnya dilaksanakan di kawasan Nibong Tebal iaitu tempat yang menghantar ahli parlimennya ke Dewan Rakyat dan kemudian ke KPM.
Pada April tahun lalu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberitahu setakat 31 Jan 2023 saja sudah ada 107,020 pelajar berkeperluan pendidikan khas di seluruh negara.
Ia menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun apabila data menunjukkan pada 2020 jumlahnya seramai 93,951 sebelum bertambah kepada 97,220 tahun berikutnya.
Dengan pola sebegitu dapatlah dirumuskan jumlah pelajar yang memerlukan pendidikan khas ketika ini lebih tinggi berbanding 107,020. Tetapi apa perhatian khas diberikan KPM kepada mereka?
Dalam konteks ini jangan terkejutlah apabila masih ramai orang terkenang akan perhatian yang diberikan menteri pendidikan suatu ketika dulu, iaitu Maszlee Malik.
Di sebalik beberapa insiden lucu dan cemerkapnya Maszlee, dia tetap selalu kelihatan dekat lagi memahami anak-anak OKU khususnya di sekolah. Salut setingginya buat Maszlee untuk keprihatinannya itu.
Lalu bagaimana cara lain untuk memahamkan - dan menanamkan - sikap empati masyarakat kepada golongan OKU khususnya anak-anak yang ada di PPKI sesebuah sekolah?
Sistem pendidikan yang sedia ada setakat ini pun nampaknya sangat longlai, waima untuk membezakan autisme dengan autistik pun masih gagal. Masyarakat penyayang, konon.
Pada 12 Ogos 2023 si Razif itu bernasib baik apabila dia boleh mengundi dengan lancar dan segera. Statusnya sebagai seorang OKU membolehkan dia diberi ruang yang selesa berbanding pengundi lain.
Bangga lihat sambutan merdeka
Kerajaan wajar diperingatkan - andainya mereka lupa - Razif yang kian meningkat dewasa itu bukan satu-satunya pengundi yang tersenarai dalam daftar Suruhanjaya Pilihan Raya. Ada ratusan ribu lagi yang layak mengundi.
Lebih daripada itu seorang anak OKU lazimnya berada dalam lingkungan keluarga yang lebih besar. Paling tidak, mereka ada ibu dan apa yang juga pengundi. Itu belum diambil kira adik-beradik lain yang mungkin ramai bilangannya.
Dalam keadaan sekarang, melihatkan bagaimana KPM serta pihak berkaitan menguruskan golongan OKU, ada kemungkinan mereka sedang menghantar isyarat bahawa mereka sudah tidak berminat untuk terus menjadi kerajaan.
Pada pagi 31 Ogos lalu si Razif bangun pagi-pagi lagi dengan bersemangat. Dia bergegas bersiap dan berikhtiar sendiri untuk ke Putrajaya dari rumahnya di Kuala Selangor.
Berdasarkan kisah yang disampaikan, sangat jelas dia begitu bangga menjadi rakyat Malaysia dan teruja apabila sama-sama meraikan perarakan hari kebangsaan.
Tapi itulah, kadang-kadang perhatian kerajaan kepada OKU hanya apabila ada bala menimpa, khususnya jika ia melibatkan kematian.
Untuk rekod, calon kerajaan di kawasan DUN tempat Razif mengundi itu kalah.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang percaya mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3 bukanlah jawapan kepada masalah pendidikan negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.