Ribut petir berserta hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh lebih panjang di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak mulai 2 hingga 7 September ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berdasarkan analisis model-model cuaca yang menyaksikan penumpuan angin dijangka berlaku di utara Semenanjung dalam tempoh berkenaan.
"Sementara itu, di negeri-negeri lain, cuaca ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku sepanjang minggu ini," kata kenyataan itu.
Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web http://www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.