Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan prestasi mata wang negara yang mengukuh membuktikan hala tuju dan dasar kerajaan sedang berhasil.
Bergerak ke hadapan, menurut Rafizi, kerajaan menjangkakan pemotongan kadar faedah pertama di AS yang boleh berlaku seawal pertengahan Sept akan terus mengukuhkan lagi kedudukan ringgit.
"Hal ini membuktikan bahawa hala tuju dasar kerajaan sedang berhasil dan mula menarik perhatian serta keyakinan semula pelabur.
"Komitmen kerajaan perpaduan terhadap pembaharuan fiskal yang sukar dan peranancangan ekonomi yang komprehensif menghasilkan satu naratif pertumbuhan ekonomi yang baru," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Rafizi berkata, ketika ini juga berlaku beberapa perkembangan terkini berkaitan ekonomi negara, termasuk naratif ekonomi yang meyakinkan, pelaburan asing yang makin meningkat, dan komitmen pengukuhan fiskal serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024.
Jelasnya, faktor-faktor itu juga menjadikan tanda-tanda pengukuhan mendadak ringgit akan berlaku.
"Mata wang tempatan telah mengatasi prestasi dolar AS selama 10 hari berturut-turut, iaitu prestasi terbaik dalam 14 tahun. Setakat ini, ringgit telah mengukuh sebanyak 2.16 peratus berbanding dolar AS.
"Malah, prestasi ringgit juga mengatasi beberapa mata wang utama antarabangsa seperti pound British, RMB China dan euro. Ringgit adalah satu-satunya mata wang di Asia yang telah mengukuh berbanding dolar AS," katanya lagi.
Terdahulu media tempatan melaporkan ringgit mengekalkan aliran peningkatan untuk hari ke-10 berturut-turut pada Jumaat lalu, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan pada RM4.49 berbanding dolar AS.
Situasi itu bertepatan dengan jangkaan Kementerian Kewangan yang yakin ringgit diniagakan pada RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir 2024 kesan kedudukan ekonomi negara yang positif.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada Feb lalu pula berkata kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia untuk meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.
Katanya BNM juga sentiasa bersedia untuk mengambil langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.
Rafizi berkata, walaupun terdapat kata sepakat dalam kalangan firma penyelidikan bahawa ringgit akan terus mengukuh, tumpuannya kekal pada pelaksanaan dasar yang telah dirancang secara berkesan.
"Ekonomi dunia akan terus bergolak dalam masa terdekat yang akan terus mempengaruhi turun naik ringgit.
"Nilai ringgit hanya akan dapat dipertahankan daripada ketidaktentuan global ini sekiranya ekonomi negara distrukturkan ke arah berteknologi tinggi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya ahli parlimen Pandan itu lagi.