Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kelewatan pembentangan rang undang-undang berkenaan kerana terdapat permohonan daripada Malaysian Productivity Council (MPC) yang meminta agar ia melalui proses Analisis Impak Peraturan (RIA) sebelum ini.
“MPC sebelum ni mohon supaya rang undang-undang ini melalui proses RIA, tapi setelah kita tegaskan ada pasukan jawatankuasa yang bantu lakukan perbincangan awal dan maklum balas untuk bentuk peraturan, akhirnya mereka setuju.
“Saya percaya dalam minggu-minggu akan datang ini kita akan bentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen….insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada dua veteran media beragama Hindu sempena sambutan Deepavali, di Batu Caves, dekat sini hari ini.
Fahmi menziarahi bekas wartawan Tamil Malar R Saraspathy dan bekas pembaca pruf Tamil Nesan, S Batemaly di kediaman masing-masing dan program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.