Sabitan kes bekas MP Kapar dibatal, denda RM100 dipulangkan

Shopee Sale

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan sabitan dan denda RM100 ke atas S Manikavasagam dan melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas wakil rakyat PKR itu.

Peguam M Manoharan mengesahkan, hakim Aslam Zainuddin membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Majistret Shah Alam bulan lalu yang mensabitkan bekas Ahli Parlimen Kapar terbabit atas pertuduhan menyebabkan pecah keamanan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Manoharan berkata, mahkamah tinggi mendapati pertuduhan berhubung dakwaan menggunakan perkataan menghina pada Jan lalu adalah cacat dan tidak berasas.

Katanya, Aslam berpendapat, walaupun Manikavasagam mengaku bersalah atas pertuduhan itu, fakta kes yang dikemukakan di mahkamah majistret tidak sesuai dengan kesalahan mencetuskan kekecohan.

Mahkamah tinggi juga, katanya, mendapati cara pertuduhan itu digubal menjadikan ia kelihatan seperti kata-kata penghinaan yang didakwa dibuat antara tertuduh dengan individu lain, bukannya secara terbuka.

Manoharan berkata, Aslam turut mengarahkan denda RM100 dikembalikan kepada Manikavasagam.

Manoharan menambah bahawa anak guamnya cukup gembira dengan keputusan hari ini, dan berpendapat ia wajar menjadi peringatan kepada orang lain agar tidak mudah mengaku bersalah atas dasar penalti hanya RM100, sekali gus membawa kepada salah laku keadilan.

Kes itu tidak pernah dibicarakan sepenuhnya kerana bekas ahli parlimen Kapar itu mengaku bersalah ketika pertama kali ia dibawa ke mahkamah majistret untuk menghadapi pertuduhan bulan lepas.

Pada 13 Feb, majistret Sasha Diana Sabtu menjatuhkan hukuman denda RM100 ke atas Manikavasagam, dan mengarahkan bekas ketua PKR Kuala Selangor terbabit dipenjara tiga hari jika gagal membayarnya.

Dia membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Manikavasagam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Subang Jaya pada jam 3.27 petang, 4 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan biadab terhadap orang lain dengan menghantar mesej menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan melanggar keamanan.

MENARIK:  Mitra kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri

Di bawah seksyen itu, mereka yang didapati bersalah menggunakan perkataan tidak senonoh, mengugut, kesat atau menghina dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan, atau di mana pecah keamanan berkemungkinan berlaku boleh didenda tidak melebihi RM100.

Semasa proses mitigasi, Manikavasagam memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia memegang kad orang cacat penglihatan (OKU) tetapi bersedia membayar denda itu.

Manikavasagam berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kapar dari 2008 hingga 2013.

Selepas keahliannya dalam PKR digantung pada 2017, Manikavasagam meletakkan jawatannya dan meninggalkan parti itu pada 2018 untuk menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan menjadi naib presidennya.

Dia bertanding pada PRU 2018 bagi kerusi parlimen Kapar dan kerusi DUN Meru di bawah tiket PRM tetapi hilang deposit selepas hanya memperoleh 525 undi di Kapar dan 346 di Meru.

Shahrul Ekhsan Hasim bertindak sebagai timbalan pendakwa raya pada prosiding di mahkamah tinggi hari ini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular