PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa hari ini membetulkan istilah yang digunakan salah seorang ahli parlimen dari blok kerajaan dalam soalannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kata Zaliha, penggunaan "longkang otak" bagi istilah asal “brain drain” oleh Oscar Ling (PH-Sibu) adalah tidak tepat.
Menjelaskan perkara itu pda sesi soal jawab pagi tadi, Ling menggunakan terjemahan secara terlalu literal bagi menggambarkan perpindahan golongan cerdik pandai negara ini ke luar.
Menurut Zaliha, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - selaku badan pengelola bahasa Melayu - menggunakan istilah hijrah cendekiawan bagi perkataan brain drain.
“Sebelum saya menjawab, saya ingin memperbetulkan istilah yang digunakan oleh Sibu (Ling) dalam soalan ini, ‘longkang otak’.
“Istilah itu terlalu literal. Istilah sebenar yang diperkenalkan DBP ialah ‘hijrah cendekiawan’ walaupun ada yang menggunakan ‘penghijrahan bakat’ yang tidak begitu tepat,” katanya.
Sebelum itu Ling bertanya sama ada kerajaan cuba atau tidak menangani isu brain drain dengan mengehadkan bilangan universiti swasta tempatan sebagai pilihan untuk lepasan SPM yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menjawab persoalan itu, Zaliha berkata, istilah brain drain dalam konteks pelajar yang mendapat biasiswa JPA ditakrifkan sebagai penerima yang memilih untuk bekerja di luar negara selepas menamatkan pengajian mereka di negara asing.
“Sejak 2016 kerajaan telah memperkenalkan model baru tajaan dalam bentuk pinjaman boleh tukar berdasarkan tempat perkhidmatan supaya program tajaan sebegini dapat memberi pulangan dari segi modal insan untuk negara,” katanya.
Zaliha juga menjelaskan, tiada pengurangan dalam bilangan universiti tempatan yang ditawarkan sebagai pilihan untuk penerima biasiswa JPA pada tahun ini.