Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan parti itu pernah mengadakan perbincangan atau rundingan dengan mana-mana pemimpin parti dalam kerajaan.
Samsuri berkata sebarang perbincangan antara kedua-dua pihak hanya berkenaan soal pentadbiran.
"Berjumpa di Parlimen, selisih dalam mesyuarat, itu adalah pertemuan dengan perananan masing-masing (iaitu) di peringkat sama ada ahli Parlimen, Adun di negeri-negeri atau pun kerajaan.
"Jadi itu bukan diklasifikasikan sebagai pertemuan perbincangan politik (sebaliknya) itu adalah pertemuan kalau bertemulah dengan mana-mana pihak pun dalam kalangan pemimpin Umno, semua itu adalah dalam konteks urus tadbir dan perananan ahli Parlimen dan Adun di negeri masing-masing," katanya seperti dipetik Berita Harian semalam.
Pada Ahad lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada pihak daripada pembangkang yang ingin bertemu dengannya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi berbincang tentang kerjasama dalam PRU akan datang.
Bagaimanapun, kata Zahid, dia masih belum terbuka hati untuk berjumpa dengan wakil parti berkenaan.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli shaari mendakwa terdapat beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama Umno untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi PRU16.
Sementara itu, Samsuri berkata PAS tetap teguh bersama PN.
"Kami melihat bahawa masa depan negara yang lebih baik, "a new Malaysia' harus kita bina dengan muafakat politik sedia ada.
"PAS bersama dengan rakan dalam PN yang perlu kita kembangkan dari masa ke semasa. Insya-Allah, ini akan menjadi suatu tawaran yang terbaik untuk Malaysia baru, Insya-Allah," katanya lagi.
PAS dan Umno sebelum ini pernah bekerjasama menerusi Muafakat Nasional.
Namun, kerjasama itu tamat selepas PAS bersekutu bersama Bersatu dan menyertai PN.