Satees cabar Akmal si ‘hero Melayu’ debat isu sekolah vernakular

Shopee Sale

Bekas Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy mencabar Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh untuk berdebat dengannya berkaitan isu sekolah vernakular.

Ahli majlis pimpinan sementara Urimai itu berkata, debat itu bagi memberikan kefahaman kepada Akmal mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Dia juga mendakwa Akmal cuba mengeksploitasi isu itu untuk muncul sebagai "hero Melayu".

“Saya cabar Akmal untuk berdebat, di mana saya boleh buktikan bahawa pandangannya hanyalah retorik lama untuk mengekalkan populariti partinya yang semakin merosot.

“Saya juga boleh berikan sedikit pemahaman kepadanya untuk memahami Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak pendidikan vernakular dan agama di Malaysia.

“Mari kita berdebat dengan fakta untuk membuktikan pendapat kita, bukannya menggunakan istilah dan stereotaip perkauman.

“Jika dia benar-benar mempunyai hujah untuk dibuktikan, dia sepatutnya bersedia untuk berdebat,” tambahnya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Bekas ahli DAP itu mengeluarkan cabaran itu sebagai respons kepada sindiran Akmal terhadap bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang menggelarnya "berkhayal" kerana mengatakan sekolah vernakular menyebabkan perpecahan kaum.

Sarees juga mendakwa Akmal juga menunjukkan pemikiran "perkauman yang sempit", yang menurutnya merupakan "kelayakan asas untuk menjadi ketua Pemuda Umno".

“Adalah menjadi tradisi bagi ketua-ketua Pemuda Umno untuk menunjukkan sikap 'perkauman' mereka untuk menarik perhatian pengundi mereka.

"Kita lihat bagaimana ketua-ketua Pemuda Umno (dahulu) mempamerkan sifat 'perkauman' mereka terutama dengan menyasarkan sekolah vernakular,” katanya lagi.

Satees berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat Malaysia untuk mengekalkan identiti budaya mereka, terutama pendidikan vernakular, orang seperti Akmal terus mencabar sistem pendidikan berkenaan.

Bekas Adun itu berkata, inilah punca Umno dan BN secara beransur-ansur kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.

“Dan kini orang Melayu sendiri sudah sedar bahawa Umno hanya penuh dengan retorik dan telah menolak parti itu.

MENARIK:  'Kalimah Allah atau lakaran kasut' - Akmal minta syarikat beri penjelasan

“Akmal menggunakan taktik lama yang sama iaitu menyalahkan sekolah vernakular untuk muncul sebagai 'hero orang Melayu' tanpa memahami masalah sebenar integrasi nasional.

“Bukan sekolah vernakular yang menjadi batu penghalang kepada kemunculan identiti nasional tetapi ahli politik seperti Akmal yang tidak dapat memahami Perlembagaan Persekutuan dan meraikan perpaduan kita dalam kepelbagaian,” tambahnya.

Sambil mempertikaikan dakwaan ketua Pemuda Umno itu bahawa pelajar sekolah vernakular mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang lemah, Sarees berkata dia boleh menunjukkan bukti bahawa sekolah vernakular mencatatkan 100 peratus lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

"Orang seperti Akmal akan menggunakan label dan kata-kata perkauman apabila mereka tidak dapat berdebat dengan fakta," tambahnya.

Dalam nada sarkastik, Satees berkata Akmal boleh "membawa bersama sekutu barunya dalam DAP" untuk menyokongnya semasa debat berkenaan.

Satees dan Ramasamy ialah bekas Adun DAP.

Kedua-duanya keluar daripada parti itu selepas digugurkan sebagai calon pada pilihan raya lalu.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular