‘Saya tak sesali apa-apa’ – Pengasas PSM terus cekal bela yang tertindas

Shopee Sale

MALAYSIANSKINI | Sejak tinggal bersama pekerja estet semasa berumur awal dua puluhan sehinggalah menjadi calon pilihan raya buat kali pertama semasa umur awal 60-an, kehidupan ahli jawatankuasa pusat PSM Mohana Rani Rasiah adalah kisah perjuangan untuk mereka yang ditindas.

Dia yang biasa dikenali ringkas sebagai Rani - yang bermaksud permaisuri dalam bahasa Sanskrit - adalah salah seorang dari kumpulan yang mengasaskan PSM pada tahun 1998, menjadikan PSM parti aliran kiri yang paling lama bertapak di Malaysia.

Namun, Rani hanya tampil sebagai calon parti tersebut dua puluh tahun kemudian. Pada umur 63, dia menjadi calon PSM untuk Buntong, Perak untuk pilihan raya umum 2018.

Walaupun sudah lama bergiat dalam politik, aktivis veteran ini mengaku dia agak segan untuk merayu undi, malah tidak senang untuk memberi ucapan politik yang penuh dengan janji-janji manis.

“Saya memang seorang aktivis tegar dan di PSM, kami bukan seperti ahli politik lain.

“Budaya unik PSM berasaskan autoriti moral, dan bukan kuasa hierarki.

“Semuanya tentang gerak kerja yang disumbang dan pegangan kepada ideologi, bukan cuba memegang kuasa berasaskan jawatan,” katanya.

Politik berasaskan perkhidmatan

Kini berumur 69, Rani antara beberapa ahli politik wanita yang masih aktif dalam gerak kerja walaupun sudah melangkaui umur bersara.

Bersama ahli PSM lain, dia terus berpolitik dengan cara berbeza. Dia tidak hadir ke persidangan politik seperti ahli politik lain, dan memberi ceramah. Sebaliknya, politiknya berasaskan perkhidmatan terus kepada rakyat.

Kebanyakkan kerjanya datang dari pusat khidmatnya di Buntong, yang terus beroperasi walaupun dia kalah pada pilihan raya 2018.

Pusat khidmatnya menerima lebih kurang 10 aduan sehari tentang pelbagai isu, termasuk hak pekerja, pengusiran dari tempat tinggal, penipuan dan hal domestik.

Sebagai penyelaras Meja Migran PSM, dia juga menerima aduan dari seluruh Malaysia, dan menyelaraskan pelbagai tindakan, sama ada tindakan langsung seperti menyelamatkan pekerja asing tertindas atau membuat aduan pada Jabatan Tenaga Kerja, atau tindakan advokasi seperti mengeluarkan kenyataan media dan merangka strategi bersama NGO.

Ini bermaksud dia terpaksa berulang-alik antara Perak, Putrajaya dan Kuala Lumpur - sesuatu yang melelahkan untuk sesiapa jua, apatah lagi warga emas seperti Rani.

Tapi Rani tidak mengeluh, dan tidak kekok tinggal di bilik ringkas di hostel YMCA jika perlu bermalam di Kuala Lumpur.

Semangat ini yang mendorongnya untuk naik bas dari Perak dan terus berarak selama tiga kilometer tanpa rehat, dalam protes Selamatkan Palestin di Kuala Lumpur pada 2 Mac lalu, sambil mengangkat plakad: “Hancurkan Imperialisme, Bebaskan Palestin.”

“Saya boleh berjalan lebih jauh lagi kalau saya pakai kasut yang lebih baik,” katanya, merujuk pada sandalnya yang telah haus tapaknya.

Tiada pengorbanan, tiada penyesalan

Susuk tubuh Rani yang kecil dan suaranya yang lembut tidak menggambarkan semangat jati dirinya yang kental, menghadapi tangkapan polis, intimidasi kerajaan dan pengorbanannya sekeluarga.

Pada umur awal dua-puluhan, dia memilih untuk tidak meneruskan kerjaya dalam industri perbankan yang lebih lumayan, sebaliknya menjadi pekerja kebajikan.

Sebelum PSM diasaskan, Rani bekerja di Alaigal, sebuah NGO yang diasaskan oleh sekumpulan aktivis akar umbi, termasuk suaminya Dr Michael Jeyakumar Devaraj, pengerusi PSM dan bekas ahli parlimen Sungai Siput.

Mereka terlibat dalam membela nasib rakyat yang diusir dari rumah, dan membuat beberapa protes aman. Ini menyebabkan mereka ditahan polis beberapa kali, bersama aktivis lain.

“Kami menggegarkan kerajaan Perak kerana kami membawa banyak isu. Ramai dari kami ditahan tanpa sebab, sehingga kerajaan Perak dikritik ramai. Lepas itu mereka berhenti menahan kami,” kata Rani.

Situasi ini tentunya bukan idaman ramai, tapi bagi Rani, memilih untuk melawan bukan satu pengorbanan.

“Ia hanya satu pengorbanan jika anda ada kekesalan. Jika anda fikir anda patut pilih jalan yang lain, atau tidak dapat kecapi sesuatu dalam jalan yang dipilih. Ini boleh dikatakan pengorbanan.

“Tapi saya tak sesali apa-apa,” kata Rani, yang mempunyai seorang anak..

Bersama suaminya - yang Rani panggil sebagai “komrad” - dia sebenarnya rasa lebih gembira memilih jalan yang luar biasa.

Dia tidak endahkan norma yang ditetapkan untuk wanita sepertinya. Sebaliknya, dia berpegang pada ideologi sosialis dan lebih pentingkan mencari penyelesaian untuk kesenjangan sosial dan ekonomi yang dilihatnya setiap hari.

“Saya seorang yang akan rasa marah jika saya berhadapan dengan ketidakadilan.

“Oleh itu saya tidak dapat mengabaikan sesuatu jika saya fikir saya boleh menyumbang kepada kebaikan. Inilah sebab saya terlibat dalam pelbagai kempen,” katanya.

Dengan teruja, dia berkongsi antara kempen yang dipeloporinya adalah isu penindasan ke atas pemandu lori, yang ditekan kerana dibayar mengikut komisyen perjalanan, dan bukan bergaji tetap.

Walaupun kebanyakkan orang tidak mengendahkan isu ini, Rani percaya ini terang-terangan kisah eksploitasi pekerja.

Oleh itu, dia mengambil inisiatif untuk menjadi penasihat untuk pemandu lori dalam kempen mereka di seluruh negara.

Sosialis kecil

Kata Rani, dia mula sedar tentang ketidaksamarataan dalam dunia semasa dia masih kecil, apabila dia melihat rakan-rakan sekolahnya.

“Ada keluarga yang besar, tapi mereka miskin dan tinggal di rumah kecil, tapi ada keluarga kecil yang tinggal di rumah besar dan orang lain pula diberikan rumah dan kereta besar,” katanya.

Membesar dalam keluarga berpendapatan rendah, Rani melihat bagaimana industri timah membawa kekayaan, dan bagaimana kejatuhan industri itu pada tahun 1980an memburukkan jurang antara yang miskin dan kaya.

Rani adalah seorang dari tujuh adik-beradik, dan ibu bapanya bekerja sebagai pemandu ambulans dan tukang jahit di Hospital Besar Teluk Intan.

“Kami tidak ada banyak benda dan perlu berkongsi. Tapi saya tidak sedih tentang perkara itu. Ia membina jati diri saya,” katanya, sambil mengimbau betapa seronoknya berjalan kaki ke sekolah dan membaca buku dari perpustakaan, kerana keluarganya tidak ada televisyen.

Rani, duduk ketiga dari kanan, bersama sekumpulan wanita dari Elphil Estate di Perak pada tahun 1977.

Berkat hobi membaca, dia berjaya melanjutkan pelajarannya dalam bidang Kesusasteraan Bahasa Inggeris di Universiti Malaya.

Di sana, dia mula membaca tentang sosialisme, dan ia mengubah jalan hidup Rani.

“Bila saya temui ideologi Karl Marx dan memahami betapa kita terjerumus dalam sistem kapitalis, saya sedar yang ini sesuatu yang boleh ditukar. Ia bukan sesuatu yang termaktub.

“Kesedaran ini muncul bila saya membaca artikel sosialis di universiti,” katanya.

MENARIK:  Gobind: Integrasi aplikasi MyDigital ID dan Padu dijangka siap Ogos ini

Tambahnya, pada masa itu, agak sukar untuk mendapat bahan bacaan aliran kiri, dan buku dan bahan bacaan yang tidak ada di Malaysia akan dikongsi dalam bentuk fotokopi.

Berkhidmat di estet

Pendedahan kepada sosialisme mencetuskan minatnya untuk menceburi bidang khidmat sosial, dan untuk memahami cabaran yang dihadapi rakyat kebanyakan.

Minat ini menjadi lebih mendalam apabila dia mula berkhidmat dengan Student’s Service Corps, yang diasaskan oleh Persatu Bahasa Tamil di UM.

Bersama Student’s Service Corps, Rani telah tinggal bersama pekerja ladang kelapa sawit di Estet Elphil, Sungai Kudai dan Heawood di Sungai Siput, Perak.

“Kami tinggal bersama mereka selama 10 hari dan alami kehidupan mereka. Dari situ, kami dapat kenali keperluan mereka, contohnya, mereka perlukan satu tadika, kanak-kanak perlukan kelas tuisyen,” katanya.

Ini mencetus idea untuk sebuah sistam yang dikenali sebagai ‘Kalvi Kulu’, di mana pelajar-pelajar universiti itu akan mengajar anak-anak pekerja ladang yang lebih besar, dan seterusnya, anak-anak itu akan mengajar kanak-kanak yang lebih muda.

Rani (duduk, paling kanan) bersama pelajar UM lain dan kanak-kanak dari tadika yang pelajar-pelajar tersebut asaskan di Elphil Estate, Perak pada tahun 1977.

Melalui Student’s Services Corps juga dia bertemu suaminya, Jeyakumar, seorang pakar respiratori yang ketika itu pelajar jurusan perubatan di UM.

“Semakin lama, semakin kurang pelajar yang kembali (berkhidmat bersama Student’s Services Corps), sehingga kami antara beberapa orang yang tinggal,” katanya.

Rakan-rakan mereka meneruskan kehidupan ke arah lain selepas graduasi, tetapi pasangan Rani dan Jeyakumar terus berkhidmat untuk keluarga pekerja ladang yang mereka temui.

Sehinggakan selepas mereka berkahwin, pasangan ini mengasaskan NGO Alaigal di Sungai Siput untuk meneruskan kerja tersebut.

Hubungan mereka dengan keluarga-keluarga di ladang kelapa sawit tersebut berkekalan sehingga hari ini.

Setiap tahun, mereka akan membuat konsert Hari Buruh yang dipanggil ‘Titisan Peluh’. Konsert ini adalah cetusan idea pekerja ladang tersebut pada tahun 1987.

Kalah teruk

Walaupun lama berkhidmat pada masyarakat, Rani menghadapi kekalahan yang teruk apabila dia cuba bertanding di pilihan raya 2018. Dia tidak berjaya mendapat 12.5 peratus undi, dan hilang deposit.

Rani antara 19 calon PSM di peringkat parlimen dan negeri pada pilihan raya yang melihat BN tumbang buat pertama kali dalam sejarah. Ia juga pilihan raya paling buruk untuk PSM.

“Prestasi kami amat teruk dan kami hilang semua deposit,” katanya.

Rani amat terkesan dengan kekalahan itu, kerana dia telah berkhidmat untuk masyarakat Buntong selama 20 tahun dalam isu kemiskinan, perumahan dan hak pekerja.

Tapi, dari kekalahan itu, dia sedari bahawa masih banyak lagi yang perlu dibuat untuk mendedahkan pengundi pada nilai-nilai PSM, dan hanya satu cara untuk berbuat begitu - terus berkhidmat.

Sejak dari itu, katanya, ramai warga yang dibantu PSM telah berdaftar menjadi ahli.

“Semasa kami membantu mereka yang memerlukan, seperti pekerja, kami juga mengajar mereka untuk berfikir secara kritis.

“Kami ajukan soalan seperti, siapa yang lantik pemegang kontrak, siapa yang berikan tender, kenapa tiada tindakan diambil walaupun aduan dibuat?

“Mereka mula nampak ‘big picture’ dan faham objektif kami. Maka mereka bersama dengan kami dan ia menguatkan lagi PSM,” katanya.

Tidak gemar politik

Inilah juga kesedaran yang mendorong Rani dan komrad-komradnya untuk menubuhkan PSM.

Mereka sebenarnya tidak berminat dengan politik kerpartian dan hanya mahu membuat bekerja di peringkat akar-umbi, membantu masyarakat terpinggir.

Tapi semakin lama mereka bekerja dalam bidang ini, semakin mereka sedar bahawa politik kepartian banyak berkait rapat dengan kehidupan harian.

“Mulanya, kami tidak ada agenda untuk menubuhkan parti politik, tapi akhirnya kami sedar perlunya platform ini, dan kami mengubah strategi.

“Semasa kempen pilihanraya umum 1990 dan 1995, kempen kami fokus kepada membawa desakan pengundi kepada calon - isu seperti pembangunan bandar dan keperluan pekerja estet.

“Matlamat kami jelas - untuk membawa perubahan dari peringkat dasar dari akar umbi,” kata Rani.

Tapi mereka sedari kerja advokasi tersebut mempunyai impak yang terhad kerana ramai calon tidak ada pelan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.

Akhirnya, PSM ditubuhkan pada 1998.

Sentiasa ke hadapan

Ia memakan sedekad lamanya, termasuk turun naik mahkamah, untuk akhirnya berjaya mendaftar PSM secara rasmi di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pada mulanya, ROS menolak pendaftaran mereka kerana kononnya tidak mengikut peraturan.

Kerajaan akhirnya setuju untuk menerima pendaftaran mereka pada tahun 2008, dan ketika itu, suami Rani, Jeyakumar telahpun menang kerusi Sungai Siput manakala president PM ketika itu, Mohd Nasir Hashim menang di DUN Kota Damansara. Mereka bertanding atas tiket PKR.

Walaupun Jeyakumar menang sekali lagi di Sungai Siput pada tahun 2014, PSM tidak dapat menang satu kerusi pun sejak 2018.

Rani Rasiah bersama ahli PSM membuat protes untuk hak pengawal keselamatan.

Ahli parti PSM juga terus menghadapi tindakan dari pihak berkuasa apabila mereka berkempen untuk isu yang diperjuangkan. Ada juga tindakan yang berbentuk kekerasan.

Maka tidak keterlaluan untuk berkata perjalanan politik Rani dan PSM masih penuh dengan cabaran.

Namun, kini memasuki dekad ketujuh dalam hidupnya, Rani terus ke hadapan.

“Saya akan berjuang untuk sebuah masyarakat yang adil selama lama yang mampu.”


MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Pada bulan Mac, kami akan menyiarkan wawancara dengan para wanita terkemuka di Malaysia, melalui siri Wanita Di Hadapan sempena Hari Wanita Antarabangsa.


BACA LAGI:

Rezeki berganda: Bagaimana pinjaman RM5,000 ubah hidup wanita

Dengan filem, Nadira Ilana singkap kisah sebenar Sabah

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular