Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, tidak sepatutnya memperkecilkan pandangan orang yang berbeza pendapat dengannya sekiranya dia benar-benar memikirkan soal perpaduan nasional.
Sebagai respons terhadap kritikan Akmal terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, Rajiv berkata dia mahu membelanja pemimpin Umno itu ‘minum kopi’ dan berbincang mengenai isu panas berkaitan sekolah vernakular.
"Menghina mereka yang berbeza pandangan sudah tentu bukan jalan menuju perpaduan nasional.
"Sebelum menyerang pendidikan vernakular yang telah berjaya selama beberapa dekad, di mana saya perlu memberitahu, sekolah-sekolah SJKC adalah yang paling berbilang kaum hari ini dibandingkan dengan sekolah kebangsaan, mengapa anda tidak berdialog dengan semua pihak?
"Jika motivasi anda adalah untuk membangkitkan dan menghasut pendukung anda, menonjolkan kelayakan kaum anda, maka saya kira anda akan terus menghamburkan kenyataan seperti ini," kata Rajiv dalam satu kenyataan.
Dia berkata dialog awam adalah langkah ke hadapan jika Akmal benar-benar ikhlas untuk mewujudkan perpaduan nasional.
"Cakap dengan parti politik dan NGO yang sangat memahami tentang sekolah vernakular dan memahami dari mana mereka datang.
"Tanggungjawab kejayaan kerajaan perpaduan ini sebagai kerajaan untuk semua rakyat Malaysia adalah sama-sama di atas kita berdua.
"Mula dengan saya. Mari kita minum kopi. Saya belanja. Anda setuju?" kata Rajiv kepada Akmal.
Semalam, Akmal menyoal logik di sebalik menyokong "Bangsa Malaysia" bagi memperkukuhkan sekolah vernakular.
Dalam sanggahan terhadap P Ramasamy, Akmal berkata hujah sedemikian menjadi punca perpaduan kaum tidak dapat dipupuk.
"Kata parti kamu berbilang kaum, mahu membentuk bangsa Malaysia, tetapi bab pendidikan nak diasingkan?
"Orang politik seperti kamu inilah yang menjadi punca perpaduan antara kaum selama ini tak dapat disuburkan.
"Kamu mabuk ke apa," katanya pada hantaran Facebook malam tadi.