Meskipun Ramadan baru bermula hari ini, namun maklumat tersebar di internet kononnya kerajaan sedang menghulurkan RM500 sebagai sumbangan "bantuan awal Ramadan".
Bagaimanapun, semakan MyCheck mendapati maklumat itu palsu dan poster yang mendakwa mengenai bayaran itu mula tular tahun lalu.
Kali ini, maklumat palsu itu disiarkan oleh laman web Portalinfo.my, pada 2 Mac lalu, bersama poster yang memaparkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Laman web itu mendakwa bantuan kebajikan dengan bayaran sekali sahaja itu terbuka kepada pemohon beragama Islam dan bermastautin di wilayah persekutuan sekurang-kurangnya setahun. Penerima yang layak boleh menyemak melalui laman web Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Bagaimanapun, MyCheck mendapati bantuan yang disalurkan oleh MAIWP sempena Ramadan itu adalah untuk mereka yang telah pun layak untuk skim kebajikan Bantuan Sara Hidup (BSH), dan bukannya skim baharu yang dibuka untuk semua.
Bantuan yang dikeluarkan oleh MAIWP juga dikreditkan terus ke akaun bank penerima BSH dan tidak memerlukan permohonan lanjutan.
Laman itu juga didapati sebagai tidak boleh dipercayai, manakala semakan mendapati ia dianggap "mencurigakan".
Poster sama yang dimuatnaik oleh laman web itu juga tersebar pada 2013 di laman sosial laman web serupa. Ia dikatakan memuatnaik maklumat mengenai bantuan kerajaan dan jawatan kosong perkhidmatan awam.
MyCheck mendapati bahawa laman web dan media sosial yang menyebarkan maklumat palsu ini menggunakannya sebagai umpan menarik pembaca ke laman mereka, untuk memperolehi hasil pengiklanan.
Poster itu bukan satu-satunya maklumat palsu tentang bantuan kerajaan yang tersebar di media sosial.
Satu lagi bertajuk “Tarikh penting menjelang 1 Syawal” yang kononnya memaparkan senarai bantuan kebajikan kerajaan kepada pelbagai golongan.
Syawal adalah bulan selepas Ramadan dalam kalendar Islam, Aidilfitri disambut pada 1 Syawal.
Bagaimanapun, poster yang tersebar luas di WhatsApp itu adalah senarai bantuan yang dikeluarkan tahun lalu, dan dipercayai bermula 2023.
Sebagai contoh, poster berkenaan menyatakan bahawa bantuan sekali pembayaran itu adalah untuk anggota sukarelawan yang diumumkan pada 29 Mac, tetapi poster itu mula diedarkan pada minggu pertama bulan Mac.
Semakan Malaysiakini mendapati Anwar mengumumkan bantuan itu kepada anggota Rela pada 29 Mac 2023, sebagai tambahan kepada Bajet 2023.
Walaupun kerajaan negeri seperti Pulau Pinang dan Sabah telah mengumumkan bantuan Aidilfitri untuk penjawat awam, namun kerajaan persekutuan tidak membuat sebarang pengumuman sedemikian tahun ini.
Malaysiakini dan MyCheck adalah sebahagian daripada JomCheck, sebuah pakatan pemeriksa fakta.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permohonan untuk menyemak fakta yang didakwa dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.