Ketika dunia memperingati tempoh setahun sejak bermulanya serangan genosid Israel ke atas Gaza, gelombang solidariti telah melanda seluruh dunia, menyatukan rakyat dan gerakan akar umbi dalam mengecam kekejaman ke atas rakyat Palestin.
Dari Washington ke New York, London ke Paris, dan bandar-bandar di seluruh Eropah, ribuan manusia turun ke jalanan untuk menyuarakan sokongan kepada Palestin dan menuntut keadilan bagi mereka yang menanggung apa yang digambarkan ramai sebagai kempen genosid yang sistematik, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Respons Global
Sejak 7 Okt 2023, dunia telah menyaksikan gerakan akar umbi yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Demonstrasi, vigil, dan perhimpunan diadakan di bandar-bandar utama dan kampus universiti, didorong oleh kemarahan terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.
Para penunjuk perasaan berkumpul bukan sahaja untuk menyuarakan kemarahan mereka tetapi juga untuk menuntut agar kerajaan mereka mengambil pendirian terhadap apa yang mereka anggap sebagai bersekongkol dalam tindakan ketenteraan Israel.
Duta Palestin ke United Kingdom (UK), Hossam Zomlot, menekankan perananan penting yang dimainkan oleh sentimen awam dalam membentuk dasar kerajaan.
"Sejak hari pertama, kerajaan Barat - termasuk AS (Amerika Syarikat), UK, dan beberapa pentadbiran Eropah - memberikan perlindungan untuk tindakan kekerasan Israel, menggambarkannya sebagai pertahanan diri sambil mengabaikan konteks sejarah perjuangan Palestin," kata Zomlot kepada WAFA.
Beliau menunjukkan bahawa gelombang protes semasa, mewakili peralihan dalam cara kerajaan ini dipertanggungjawabkan, yang didorong oleh suara rakyat.
Kuasa rakyat
Zomlot menekankan pengajaran sejarah yang lebih luas, gerakan pembebasan sering mendapat momentum apabila masyarakat sivil bangkit memberi tekanan kepada badan pemerintah.
Beliau mengimbas kembali gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan, yang menarik sokongan antarabangsa dan akhirnya membawa kepada perubahan politik yang ketara.
Zomlot menekankan kepentingan tekanan awam terhadap kerajaan sebagai cara untuk memulakan perubahan dalam pendirian lama Barat terhadap perjuangan Palestin.
Beliau berkata perjuangan Palestin adalah sebahagian daripada naratif sejarah yang lebih luas mengenai gerakan pembebasan di seluruh dunia, mengimbas kembali kejayaan kempen antarabangsa menentang apartheid di Afrika Selatan, yang melibatkan gerakan aktivis akar umbi yang meluas dan akhirnya memberi tekanan kepada kerajaan Barat untuk bertindak.
Beliau turut mengakui perkembangan luar biasa gerakan solidariti di UK, dengan London menjadi pusat sokongan antarabangsa untuk Palestin.
Protes besar-besaran berlaku bukan sahaja di London tetapi di seluruh bandar-bandar di Britain, mencerminkan usaha yang berterusan dan terancang dan bukannya respons emosi sementara.
Zomlot menekankan bahawa rakyat Britain memainkan perananan penting dalam mendedahkan tindakan penindasan rejim Israel, yang membawa kepada perubahan ketara dalam dasar kerajaan.
Beliau turut menunjukkan bahawa diplomasi Palestin berjaya melawan naratif agresif media yang selama ini menggambarkan rakyat Palestin sebagai penyerang dan bukannya mangsa. Beliau mengakui bahawa walaupun serangan media berterusan, terdapat tanda-tanda perubahan persepsi, terutama dalam media tradisional Barat.
Duta berkenaan menyebut hasil yang nyata daripada solidariti akar umbi di UK, termasuk keputusan baru-baru ini oleh Kerajaan Britain untuk menghentikan lesen penjualan senjata bagi tujuan serangan kepada Israel, menarik balik bantahan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan memulihkan pembiayaan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
Tindakan undang-undang dan diplomasi antarabangsa
Selari dengan gerakan akar umbi ini, satu dorongan undang-undang yang ketara telah muncul menentang tindakan Israel. Afrika Selatan mengambil langkah berani dengan memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid di Gaza.
Langkah bersejarah ini, yang disokong oleh dokumen 84 halaman yang terperinci mengenai krisis kemanusiaan, sedang dipantau dengan teliti oleh negara-negara lain.
Negara-negara seperti Nicaragua, Colombia, dan Turkiye telah menyatakan niat mereka untuk menyokong inisiatif Afrika Selatan, yang boleh mewujudkan duluan bagi negara-negara lain yang menghadapi ketidakadilan serupa.
Zomlot menyatakan harapan bahawa momentum undang-undang ini akan memaksa masyarakat antarabangsa menilai semula kedudukan mereka mengenai Palestin dan mempertanggungjawabkan Israel atas tindakannya.
Peranan media dan naratif
Kepayahan untuk menguasai naratif telah menjadi satu lagi medan penting dalam perjuangan ini. Wartawan Palestin berdepan dengan bahaya besar dalam usaha mereka untuk mendokumentasikan kekejaman Israel yang berterusan, dengan lebih 170 wartawan terkorban semasa cuba memberikan laporan tepat mengenai peristiwa yang berlaku di Gaza.
Tahap kehilangan nyawa yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah memaksa media global untuk menghadapi sikap berat sebelah mereka sendiri, mendorong kepada penyampaian yang lebih seimbang mengenai penderitaan rakyat Palestin.
Zomlot mengulas mengenai perubahan liputan media, dengan menyatakan bahawa walaupun media tradisional sebelum ini menggambarkan rakyat Palestin sebagai penyerang, gerakan aktivis akar umbi dan kuasa media sosial telah mula mengubah naratif ini.
"Buat kali pertamanya, kami mendokumentasikan perjuangan kami sendiri dan memaksa dunia melihat realiti situasi kami," tegasnya.
Ketika negara-negara mengemudikan jalinan kompleks diplomasi, perpaduan suara yang menyuarakan sokongan untuk Palestin menjadi peringatan bahawa solidariti tidak mengenal sempadan.
Menurut WAFA, harapan tetap ada bahawa usaha kolektif ini akan membawa keadilan dan keamanan bagi rakyat yang telah menanggung penderitaan yang terlalu lama.
Pengiktirafan antarabangsa terhadap Palestin: Peralihan dalam pakatan global
Ketika pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin mencapai tahap yang membimbangkan, gelombang besar pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin mula terbentuk.
Negara-negara seperti Norway, Sepanyol, Ireland, Barbados, Jamaica, Bahamas, Trinidad dan Tobago, Slovenia, dan Armenia telah tampil ke hadapan, menjadikan jumlah negara yang mengiktiraf Palestin kepada 149 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengiktirafan yang semakin meningkat ini menandakan perubahan penting dalam landskap geopolitik mengenai Palestin, mencerminkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai krisis kemanusiaan yang berterusan.
Konsensus yang semakin meningkat
Pengiktirafan muncul baru-baru ini di tengah kemarahan meluas terhadap kempen agresif Israel, yang digambarkan banyak pemerhati dan organisasi antarabangsa sebagai satu bentuk genosid, kata WAFA.
Perkembangan ini menekankan konsensus yang semakin meningkat dalam kalangan negara-negara bahawa perjuangan Palestin bukanlah isu serantau semata-mata tetapi satu keprihatinan global yang mendesak dan memerlukan tindakan.
Norway, yang secara tradisinya merupakan penyokong keamanan di Timur Tengah, telah mengambil langkah penting untuk memperkukuh pengiktirafan diplomatiknya terhadap Palestin.
Sepanyol dan Ireland, bersama negara-negara Eropah lain, turut mengikutinya, menunjukkan kemungkinan perubahan dalam pendirian Kesatuan Eropah terhadap konflik Palestin-Israel.
Pengiktirafan bersama terhadap Palestin oleh negara-negara ini menandakan pemahaman mengenai keperluan mendesak untuk keadilan dan penentuan nasib sendiri bagi rakyat Palestin.
Pemutusan hubungan diplomatik dengan Israel
Selain mengiktiraf Palestin, beberapa negara telah mengambil tindakan tegas untuk memutuskan hubungan dengan Israel sebagai protes terhadap tindakan ketenteraannya. Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, menjadi tajuk utama dengan menarik balik duta negaranya dari Israel, satu langkah berani yang menggambarkan sentimen ramai di Amerika Latin yang melihat konflik itu melalui lensa kemanusiaan.