Setiausaha MB nafi ada kaitan tukar penyelaras DUN Hulu Bernam

Shopee Sale

Setiausaha Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menafikan dirinya terlibat dalam keputusan menukar penyelaras DUN Hulu Bernam seperti yang didakwa Amanah Hulu Selangor.

Ini kerana katanya, lantikan Penyelaras Dun di Selangor dibuat oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.

"Kalau saya selaku setiausaha politik mempunyai kuasa untuk menentukan mana-mana jawatan lantikan politik dalam Selangor bermakna dakwaan ini sekali gus mengatakan bahawa MMKN Selangor tidak mempunyai apa-apa kuasa menentukan keputusan pentadbiran kerajaan," katanya yang juga penyelaras DUN Batang Kali.

Sebelum ini, Amanah Hulu Selangor meminta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyerahkan kembali jawatan pegawai penyelaras DUN Hulu Bernam yang sebelum ini disandang timbalan ketuanya, Roslin Md Zin.

Naib Ketua Amanah Hulu Selangor, Mohammad Syafiq Musa mendakwa Roslin ditamatkan tugas dengan jawatan itu diberikan kepada Ketua Umno Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kasim yang berpunca daripada gerakan politik yang diatur oleh pihak-pihak tertentu.

Batang Kali dan Hulu Bernam ialah dua DUN di bawah kawasan Parlimen Hulu Selangor.

"Kami juga dimaklumkan tindakan (penamatan) tersebut merupakan langkah politik pihak tertentu yang berusaha menempatkan diri di (DUN) Batang Kali, yang sepatutnya diberikan kepada Umno.

"Rentetan tindakan tersebut, bagi menggantikan penyelaras DUN Batang Kali yang sepatutnya milik Umno, pegawai penyelaras Hulu Bernam daripada Amanah ditamatkan perkhidmatan secara tergesa-gesa dan tanpa penjelasan sebagai ganti kepada Umno," kata Mohammad Syafiq dalam kenyataan semalam.

‘Pemimpin Amanah ada dalam mesyuarat Exco’

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan ketika pembahagian kerusi pada PRN Selangor 2023, pihaknya tidak pernah mempersoalkan pemberian kerusi DUN Batang Kali kepada Umno walaupun dia merupakan penyelaras DUN pada ketika itu.

"Selepas kerajaan negeri Selangor dibentuk pasca PRN ke-15, saya memohon kerusi DUN Batang Kali dikembalikan kepada PKR.

"Ini kerana kami telah memberi laluan kepada Umno untuk bertanding dan kebetulan Umno tewas, kalau mereka menang, kami pun tak akan tuntut. Jadi, saya merasakan hak ini perlu dikembalikan kepada PKR," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Amanah Hulu Selangor sepatutnya mengajukan hal itu kepada dua Exco mereka iaitu Adun Taman Templer, Anfaal Saari dan Adun Pandan Indah, Izham Hashim yang juga Pengerusi Amanah Selangor.

MENARIK:  PH yakin DAP mampu pertahan kerusi KKB, kata Loke

"Kedua-duanya ada dalam mesyuarat MMKN pada 11 Mei lalu. Jadi, kalau nak tahu boleh tanya pada wakil mereka," katanya.

Tambahnya, ketika Umno mengambil kerusi DUN Batang Kali pada PRN 2023, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dan dimaklumkan kepada PKR.

Dakwanya lagi, pada ketika itu, Umno sepatutnya yang bertanding di kerusi DUN Hulu Bernam kerana mereka merupakan penyandang DUN berkenaan dan bukannya calon dari Amanah.

"Kalau Amanah boleh hormat pembahagian kerusi pada PRN lalu kenapa tak boleh hormat keputusan MMKN? Bagi saya, ini adalah sikap mengada-ngada.

"Bagaimana Umno boleh bertanding di DUN Batang Kali dan Amanah bertanding di DUN Hulu Bernam tanpa pengetahuan PKR ataupun PH Hulu Selangor ketika itu?

"Jadi, kalau nak kata tidak rujuk, tiada semangat perpaduan dan sebagainya, Amanah kena tanya diri sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Nasional Hasbie Muda berkata partinya berharap akan terus kekal di kerusi DUN Hulu Bernam dan sedia berunding bagi pertukaran jawatan penyelaras DUN atau penyelaras Parlimen.

"Bagaimanapun, kami sedia berunding untuk pertukaran dengan kerusi DUN Batang Kali atau Parlimen Hulu Selangor," katanya.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular