Muhammad Shafee Abdullah menganggap kes 1MDB sebagai titik hitam pertama dalam kerjaya guamannya yang cemerlang.
Walaupun menyatakan dia dan anak guamnya, bekas perdana menteri Najib Razak, menerima dan menghormati penghakiman itu, peguam tersebut bagaimanapun tidak berpuas hati.
“Saya sangat terkejut kerana ini mungkin satu-satunya kes yang pernah saya alami yang pada peringkat ini saya langsung tidak menang.
"Lupakan tentang kain, seutas benang pun saya tak menang," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Shafee juga menyifatkan ini sebagai "jarang berlaku jika bukan satu-satunya kes" yang "bukti khabar angin" diterima.
"Semua yang dikatakan diambil secara borong," katanya.
Di sebalik apa yang berlaku, Shafee berikrar tidak akan mengalah dan akan meneruskan keadilan untuk anak guamnya.
“Tetapi kami tidak berputus asa. Kami akan lawan kes ini dan lebih berazam kerana keputusan hari ini,” tegasnya.