Singapura mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2024 pada 2.0-3.0 peratus selepas mengambil kira prestasi ekonominya pada separuh pertama tahun berkenaan serta situasi ekonomi global dan domestik semasa.
Jangkaan pertumbuhan sebelum ini ditetapkan antara 1.0 hingga 3.0 peratus.
Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura berkata ekonomi negara itu berkembang sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024, melanjutkan pengembangan 3.0 peratus pada suku sebelumnya.
“Untuk separuh pertama 2024, pertumbuhan KDNK Singapura secara purata pada 3.0 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan sempena pengumuman laporan Tinjauan Ekonomi Singapura bagi suku kedua 2024 hari ini.
MTI berkata pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 kebanyakannya didorong oleh sektor perdagangan borong, kewangan dan insurans serta maklumat dan komunikasi.
Antara sektor tersebut, sektor kewangan dan insurans berkembang sebanyak 6.7 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh segmen perbankan dan pengurusan dana yang menyaksikan komisen bersih melonjak pada suku tersebut apabila kadar faedah global mula menurun.
Sebaliknya, sektor pembuatan menguncup sebanyak 1.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua kebanyakannya disebabkan oleh kemerosotan output dalam kelompok pembuatan bioperubatan dan kejuruteraan ketepatan, pembuatan bioperubatan dibebani oleh kejatuhan mendadak dalam pengeluaran farmaseutikal.
Sektor berkaitan pengguna seperti perdagangan runcit serta perkhidmatan makanan dan minuman juga menyusut, sebahagiannya disebabkan oleh penduduk tempatan keluar negara.
Bagi prospek 2024, MTI berkata sejak Tinjauan Ekonomi Singapura pada Mei, prestasi pertumbuhan KDNK rakan dagangan utama Singapura sebahagian besarnya seiring dengan jangkaan kecuali Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Malaysia.
“Ekonomi AS dan Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan pada suku kedua berdasarkan permintaan domestik kukuh. Sebaliknya, pertumbuhan KDNK Jepun dibebani oleh penggunaan swasta yang lemah kerana gaji sebenar terus menurun,” kata kementerian itu.
Ia berkata pertumbuhan KDNK AS dijangka turun secara beransur-ansur untuk sepanjang tahun ini apabila pertumbuhan penggunaan semakin perlahan seiring dengan keadaan pasaran buruh yang semakin lemah manakala ekonomi China diunjurkan berkembang pada kadar lebih perlahan pada separuh kedua tahun ini berikutan pertumbuhan pelaburan merosot dalam persekitaran beberapa petunjuk lebihan kapasiti dalam sesetengah sektor.
Menurut MTI, pertumbuhan KDNK dalam ekonomi utama Asia Tenggara diunjurkan meningkat pada separuh kedua tahun ini seiring dengan peningkatan dalam permintaan domestik serta pemulihan berterusan dalam permintaan elektronik dan pelancongan global.
Prospek permintaan luaran Singapura dijangka berdaya tahan sepanjang tahun ini, katanya.
Bagaimanapun, ia berkata dua risiko penurunan dalam ekonomi global diunjurkan akan kekal berlaku.
Ini termasuk perubahan konflik geopolitik dan perdagangan yang boleh melemahkan sentimen perniagaan dan menambah kos pengeluaran, ia boleh menjejaskan perdagangan dan pertumbuhan global.
“Kedua, gangguan kepada proses disinflasi global boleh membawa kepada keadaan kewangan yang lebih ketat untuk tempoh lebih lama, dan mencetuskan turun naik pasaran atau ketidaktentuan dalam sistem perbankan dan kewangan,” katanya.