Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mempersoal SPRM yang masih gagal mengesan menantu Muhyiddin Yassin, iaitu Muhammad Adlan Berhan yang menghilangkan diri sejak Mei 2023.
"SPRM dakwa mereka masih gagal mengesan menantu Muhyiddin, Muhammad Adlan Berhan dan peguam Mansor Saat. Di mana mereka?
"Memang pelik. Ingatkan SPRM ada cukup peralatan canggih dan perisikan hebat untuk mengesan penjenayah sampai ke lubang cacing,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, SPRM memaklumkan pihaknya masih gagal mengesan Muhammad Adlan, yang merupakan seorang ahli perniagaan, untuk didakwa di mahkamah atas pertuduhan pecah amanah.
"Dia (Muhammad Adlan) tak dapat lagi, tak dapat dikesan untuk dibawa balik ke Malaysia," katan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ia walaupun SPRM pada Jun lalu memakumkan
Pada 13 Jun lalu, SPRM memaklumkan cuba mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa lain bagi memburu Muhammad Adlan.
Mengulas lanjut, Puad membangkitkan kemampuan SPRM sebelum ini yang berjaya merakam perbualan bekas perdana menteri Najib Razak dengan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dia merujuk tindakan ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini, Latheefa Koya yang mendedahkan rakaman audio beberapa perbualan telefon membabitkan Najib berkaitan skandal 1MDB.
Antaranya adalah perbualan antara Najib dengan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan antara Najib dengan seorang tokoh ternama dari UAE.
Menurut Puad, jika SPRM mampu melakukannya sebelum ini, mereka seharusnya turut boleh mengesan perbualan Muhammad Adlan.
"(Perbualan itu) dirakam ketika Najib masih perdana menteri.
"Sudah pasti perbualan telefon antara Muhyiddin dan anaknya dirakam. Bila dirakam pasti lokasinya diketahui. Ia memang misteri.
“Canggih sungguh tempat sembunyi mereka. Rupanya SPRM belum canggih?” soalnya lagi.