SRC tidak guna pinjaman RM4 bilion KWAP untuk tujuan dirancang

Shopee Sale

Pakar pemulihan aset luar pesisir memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa sebahagian daripada RM4 bilion pinjaman yang diperoleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tidak dilaburkan dalam aktiviti berkaitan sektor sumber dan tenaga sebagaimana tujuan asalnya.

Pengarah Urusan Quantuma International Angela Barkhouse berkata apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pinjaman daripada KWAP kepada SRC, bank itu menetapkan syarat pada 3 Nov 2011, bahawa RM1.8 bilion daripada pinjaman KWAP pertama harus digunakan untuk memperoleh dua syarikat di Indonesia (PT ABM Investama dan Bumi Rescources TBk PT) dan dua syarikat di Mongolia (Gobi Coal and Energy Limited dan Erdens-Tavan Tolgoi).

Barkhouse yang memberi keterangan sebagai saksi kedua dalam prosiding saman sivil SRC International berkata pada 6 April 2012, kebenaran kedua bank pusat itu menyatakan bahawa pinjaman KWAP kedua (RM2 bilion) perlu digunakan untuk pelaburan dalam industri tenaga dan sumber asli, tidak termasuk minyak dan gas.

"Sesetengah dana dilaburkan dalam PT ABM Investama dan Gobi Coal and Energy Limited, bagaimanapun majoriti pinjaman KWAP bukan untuk memperoleh empat entiti yang disenaraikan dalam Kebenaran Pertama BNM mahupun melabur dalam tenaga dan sumber asli, seperti yang dinyatakan dalam Kebenaran Kedua," katanya semasa memberi keterangan melalui Zoom dari British Virgin Island, pada prosiding tuntutan saman US$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Saksi itu berkata berdasarkan pemahamannya mengenai dokumen yang terkandung dalam rekod, untuk membolehkan SRC International memberikan pinjaman mata wang asing kepada syarikat asing, BNM antaranya perlu memberikan kebenaran kepada syarikat berkenaan dan bersetuju dengan tujuan-tujuan yang ditetapkan.

"Hanya melalui kebenaran ini SRC International diberi kuasa untuk membuat pinjaman mata wang asing yang diperlukan kepada SRC BVI (dalam US$)," katanya.

Barkhouse berkata dana yang disalurkan daripada SRC International ke dalam akaun SRC BVI telah dipindahkan kepada lima syarikat iaitu Cistenique Investment Fund B.V, Enterprise Emerging Market Funds B.V, Muraset Limited, Gobi Resources Coal Ltd dan Pacific Rim Global Growth Ltd.

"Kedua-dua Cistenique dan Enterprise Emerging telah ditubuhkan sebagai dana pelaburan, namun berdasarkan penyiasatan saya, kedua-dua syarikat ini telah menunjukkan bahawa mereka bukan pelaburan yang sah dan sebenarnya adalah entiti "laluan" yang digunakan untuk tujuan menyembunyikan penyelewengan aset dan memudahkan pergerakan dana seterusnya.

MENARIK:  PRK Sg Bakap: BN akan bantu calon Perpaduan - Zahid

"Siasatan saya mengenai dana yang dibayar kepada Pacific Rim menunjukkan bahawa dana ini dihantar sejurus selepas diterima, sekali gus menyokong cadangan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bahawa ia bertindak bukan sebagai dana yang sah, tetapi bertujuan menyembunyikan penyelewengan aset, dengan cara yang sama seperti Cistenique dan Enterprise Emerging," katanya.

Barkhouse berkata unsur-unsur tujuan komersial kelihatan terlalu kecil dalam urusan pemindahan ke Muraset atau ke Gobi Resources, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular