Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memberi tempoh tambahan dua minggu kepada SRC International Sdn Bhd serta dua anak syarikatnya untuk menyelesaikan kes saman terhadap Umno dan Umno Selangor melibatkan RM19.5 juta yang didakwa diterima secara salah pada 2015.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd memaklumkan rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
"Rundingan masih berjalan dan penyelesaian hampir diperoleh namun bukan dalam tempoh terdekat ini… oleh itu, kami masih memerlukan masa bagi mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam berkaitan penyelesaian," kata peguam itu yang memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan.
Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Umno, dan Muzzammil Merican Hasnal Rezua, yang mewakili Umno Selangor, turut mengesahkan perkara itu serta memberi jaminan akan memaklumkan status rundingan kepada mahkamah sekiranya penyelesaian dicapai.
Ahmad Mohzanuddin, yang membenarkan penangguhan prosiding hari ini, berkata sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes itu pada 20 Jan tahun depan dan menetapkan 12 Dis ini untuk kemas kini status rundingan.
"Mahkamah memberi keutamaan kepada kes ini dan saya menasihati pihak-pihak yang terlibat agar tidak kehilangan momentum bagi mencapai penyelesaian.
"Pada peringkat ini, saya tidak akan melayan sebarang permintaan untuk penangguhan," katanya.
SRC serta dua anak syarikatnya telah memfailkan saman berasingan terhadap Umno dan Umno Selangor pada Mei 2021.
Dalam saman terhadap Umno, plaintif menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dan mendakwa Umno tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.
Saman kedua pula melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Umno Selangor yang didakwa diterima secara salah.