Pemuda Umno mencadangkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya penarikan subsidi diesel dilakukan secara berkala dan dan bukanlah secara total dan mengejut seperti yang diumumkan.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, apa yang berlaku sekarang menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.
“Kesan penarikan subsidi diesel ini akan mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM 2.15 kepada RM 3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20/liter.
“Kenaikan yang besar dan tajam ini sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa dan orang ramai,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Dr Akmal berkata, dengan kaedah pembayaran subsidi bersasar ke golongan yang memerlukan masih lagi pada peringkat awal, sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan dan keciciran golongan yang memerlukan.
Justeru, impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.
“Oleh itu, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilaksanakan secara berkala.
“Adalah lebih elok jika ia boleh dilaksanakan dengan penarikan subsidi secara kecil dahulu misalnya RM 0.20, atau pada kadar 10 peratus minimum sehinggalah cabaran-cabaran awal dapat diatasi dan situasi ekonomi semasa kembali stabil barulah mula dengan jumlah yang lebih besar secara berkala,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, Pemuda Umno menyokong polisi penstrukturan subsidi.
Katanya, polisi itu turut pernah dicadangkan oleh kerajaan BN dahulu walaupun dibantah teruk ketika itu.
“Pemuda Umno faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.
“Kita tidak mahu apabila polisi ini dijalankan,lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung,” katanya.
Sementara itu, MCA pula tampil menggesa kerajaan untuk menangguhkan keputusan mengapungkan harga diesel.
Naib presidennya, Wee Jeck Seng mahu kerajaan memberi lebih masa untuk menangani sebarang kelemahan dalam keputusan berkenaan.
Katanya, MCA telah menerima beberapa aduan hari ini daripada beberapa pemohon kali pertama untuk skim subsidi diesel yang disasarkan itu, dengan ada di antara mereka memberitahu bahawa syarikat mereka telah pun didaftarkan. Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan penyalahgunaan data.
“Dengan kurangnya pendaftaran, jurang yang ketara antara subsidi dan harga terapung dan potensi penyalahgunaan data, saya khuatir ramai orang yang layak mendapat bantuan akan terlepas pandang.
“Oleh itu, saya menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menggantung keputusan ini serta-merta,” kata Wee dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Wee berkata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sendiri mengakui bahawa terdapat kira-kira 410,000 pemilik kereta persendirian, petani kecil dan pekebun kecil di negara ini - namun hanya 60,000 yang mendaftar untuk Skim Subsidi Diesel, mewakili hanya 14.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Pemimpin MCA itu juga mempersoalkan jumlah subsidi RM200 yang diberikan berbanding lonjakan harga diesel.
Semalam, kerajaan mengumumkan harga diesel di seluruh Semenanjung Malaysia tidak lagi disubsidi berkuat kuasa hari ini.
Sabah dan Sarawak tidak terjejas dengan keputusan tersebut.
Awal hari ini, perdana menteri berkata, langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah perlu untuk menyelamatkan negara.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan perlu diambil walaupun kerajaan sedar ia merupakan langkah yang tidak popular.
“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu juga apapun kita lakukan kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.
“Padahal kita beritahu penyasaran subsidi ini semua perdana menteri sebelum itu telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan kerana risikonya ada, tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.