Subsidi pendidikan tepati konsep keadilan sosial k'jaan – GPMS

Shopee Sale

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong cadangan memberhentikan subsidi pendidikan bagi anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) demi masa depan B40.

Naib Presidennya Muhammad Danial Alimin berkata GPMS melihat langkah itu sebagai inisiatif yang bertepatan dengan konsep keadilan sosial dan tanggungjawab moral diperjuangkan kerajaan seperti dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Subsidi pendidikan tinggi yang diberikan secara menyeluruh selama ini perlu disasarkan dengan lebih baik agar anak-anak daripada golongan B40 dan sebahagian M40 dapat menikmati manfaat lebih adil.

"GPMS juga menyokong usaha perdana menteri yang menekankan kepentingan memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah terus menerima manfaat yang sewajarnya sementara golongan T20 perlu lebih bertanggungjawab dalam hal itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Danial berkata GPMS turut menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir yang menegaskan penghentian subsidi pendidikan itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan kabinet.

Menurutnya GPMS juga berpendapat penjimatan peruntukan subsidi itu boleh diagihkan dengan lebih fokus kepada pelajar yang benar-benar memerlukan terutamanya dalam kalangan mahasiswa keluarga B40.

Hal itu, katanya, akan memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah yang sering menghadapi cabaran kewangan dalam meneruskan pengajian mereka.

"Pengagihan semula subsidi itu juga boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran, biasiswa dan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak, dengan cara itu mahasiswa B40 lebih berpeluang menamatkan pengajian tanpa beban kewangan," katanya.

Tambah Muhammad Danial pendekatan itu juga dapat mengurangkan ketidakseimbangan dalam penggunaan dana awam serta memberikan ruang kepada kerajaan menyusun semula perbelanjaan pendidikan dengan lebih efisien dan menyasarkan sumber kepada golongan paling memerlukan.

MENARIK:  KPDN serbu kedai jual produk makanan tertera ungkapan 'No Palm Oil'

Katanya golongan kaya berkemampuan dari segi kewangan tidak lagi bergantung kepada subsidi yang seharusnya diutamakan kepada mereka berpendapatan rendah dan prinsip itu juga akan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sosial serta kepentingan memberikan laluan kepada golongan rentan dalam mendapatkan hak pendidikan.

"GPMS juga mengalu-alukan saranan perdana menteri supaya anak-anak golongan kaya tidak lagi mengambil kesempatan ke atas subsidi yang sepatutnya disalurkan kepada mereka lebih memerlukan.

"Tanggungjawab moral dan sosial golongan ini perlu difahami dengan mendalam dan kami percaya bahawa prinsip ini akan membina masyarakat lebih adil dan harmoni," katanya.

Dia menjelaskan GPMS berharap inisiatif-inisiatif itu akan membantu memperkukuh sistem pendidikan negara dan memastikan setiap golongan mendapat peluang pendidikan yang adil serta setara.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular