Sultan Brunei berangkat pertabalan Agong, serlah hubungan akrab dengan Malaysia

Shopee Sale

Keakraban hubungan Malaysia dan Brunei terserlah apabila Sultan Ibrahim berangkat ke negara jiran itu untuk mempersembahkan kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah warkah persilaan sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pada 25 Jun lepas turut menggambarkan keunikan dan keutuhan hubungan kedua-dua ketua negara itu.

Beliau yang turut mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Brunei menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai sesuatu yang cukup indah dan istimewa, malah berlangsung dalam suasana amat akrab.

"Biarpun Brunei bukanlah di dalam Malaysia, persaudaraan antara Raja-Raja Melayu itu yang membawa kepada perkenan Sultan Ibrahim untuk berangkat ke Brunei dan persembahkan sendiri warkah persilaan kepada Sultan Hassanal Bolkiah.

"Dalam bahasa istana ini ada gelaran tersendiri, pada majlis menghadap dan persembahan warkah persilaan itu Seri Paduka Baginda memanggil Sultan Hassanal Bolkiah sebagai abang manakala Sultan Brunei memanggil Sultan Ibrahim sebagai adik, ia sesuatu yang sangat istimewa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azuan Effendy berkata dalam pertemuan itu juga, Sultan Brunei menzahirkan rasa terharu dan gembira atas keberangkatan Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan warkah persilaan berkenaan.

Lebih istimewa, beliau berkata atas dasar keakraban kedua-dua negara, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah akan berangkat ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim walaupun pada minggu berkenaan Brunei meraikan Hari Keputeraan baginda.

"Biarpun ketika itu (20 Julai) Sultan Hassanal Bolkiah sibuk dengan pelbagai program kerana negara itu sendiri akan meraikan Hari Keputeraan Sultan Brunei ke-78 pada 15 Julai, baginda telah bertitah akan cuba mengubah acara-acara rasmi yang telah diatur semata-mata untuk hadir memberi sokongan kepada istiadat pertabalan Sultan Ibrahim," katanya.

MENARIK:  Ibu bersama bayi tiga bulan maut lepas kereta bertembung lori tangki

Azuan Effendy berkata warkah persilaan yang diperbuat daripada kulit kambing adalah sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan perutusan bagi mengundang Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri serta kerabat diraja luar negara ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan diamalkan sejak sekian lama.

"Warkahnya juga tidak berubah, ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi, menggunakan bahasa Melayu dan diletakkan di dalam kapsul khas sebelum dipersembahkan oleh rombongan kepada jemputan yang berkenaan," katanya.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular