‘Tak nampak bukti AS$120 juta dalam akaun Najib dikembali ke Tanore’

Shopee Sale

Pakar pemulihan aset rentas sempadan yang berpangkalan di Kepulauan Cayman memberi keterangan bahawa dia tidak melihat bukti bahawa dana AS$120 juta yang mengalir ke dalam akaun bekas perdana menteri Najib Razak telah dikembalikan kepada Tanore Finance Corp.

Memberi keterangan melalui Zoom dari Kepulauan Cayman petang ini, Angela Barkhouse memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur demikian semasa perbicaraan kes saman SRC International berjumlah AS$1.18 bilion (RM5.5 bilion) terhadap Najib Razak.

Semasa perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin, saksi bagi plaintif SRC berkata dia juga tidak melihat bukti bahawa AS$120 juta itu merupakan sebahagian daripada AS$620 juta yang mengalir keluar dari akaun Najib di Malaysia ke akaun Tanore di Singapura pada 2013.

Dia menjawab soalan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, yang menegaskan bahawa AS$120 juta itu merupakan sebahagian daripada AS$620 juta yang telah dikembalikan kepada Tanore.

Harvinderjit: Saya akan mencadangkan kepada anda, bahawa dana sebanyak AS$120 juta ini telah dikembalikan kepada Tanore melalui penebusan.

Barkhouse: Saya tidak melihat apa-apa yang kembali. Saya tidak melihat AS$120 juta dikembalikan.

Harvinderjit: Anda nampak AS$620 juta, bukan? Saya mencadangkan kepada anda bahawa AS$120 juta di dalam akaun Najib ini, adalah sebahagian daripada dana AS$620 juta yang keluar dan kembali ke Tanore pada 2013.

Barkhouse: Saya tidak melihat bukti itu.

Antara pelepasan yang diminta oleh SRC melalui tuntutan mahkamah ini ialah Najib membayar balik AS$120 juta dana firma milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank bekas perdana menteri Malaysia.

SRC juga menyaman Najib untuk pembayaran balik RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada syarikat itu yang didakwa telah diselewengkan.

Sementara itu, Barkhouse memberi keterangan bahawa dia tidak pasti sekiranya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho berada di belakang beberapa entiti luar pesisir yang terlibat dalam penyelewengan RM4 bilion daripada SRC.

Dia berkata kebanyakan entiti luar pesisir ini kepunyaan seorang lagi buruan, Eric Tan, sebagai pemilik benefisialnya.

Dia kemudian disoal balas oleh Harvinderjit sama ada Low terlibat dalam entiti luar pesisir ini.

"Saya tidak pasti jika dia (Low) adalah individu yang mengawal segala-galanya," kata Barkhouse, sambil menambah bahawa dakwaan mengenai Low adalah apa yang dia baca dalam laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai penyelewengan dana daripada SRC dan syarikat pelaburan negara, 1MDB.

Laporan DOJ mendakwa Low dan beberapa sekutunya seperti Tan terlibat dalam penyelewengan wang daripada SRC dan 1MDB, melalui penggunaan beberapa entiti luar pesisir seperti Blackstone Asia Real Estate Partners dan Blackrock Commodities (Global) Limited.

Tan (gambar ilustrasi bawah) didakwa sebagai pemilik benefisial Blackstone dan Blackrock.

Barkhouse memberi keterangan bahawa analisisnya terhadap dokumen yang diberikan kepadanya oleh PriceWaterhouseCoopers dalam kapasitinya sebagai pelikuidasi entiti luar pesisir menunjukkan Tan sebagai pemilik berdaftar firma berkenaan dan bukannya Low.

MENARIK:  Subsidi diesel: K'jaan akan bincang dengan pemain industri pelancongan - Fahmi

Antara entiti yang dia diupah sebagai pelikuidasi ialah SRC BVI (British Virgin Islands), yang didakwa menerima aliran masuk berbilion ringgit dana SRC yang berpangkalan di Malaysia sebelum diagihkan kepada pelbagai syarikat dan individu lain.

Semasa disoal oleh Harvinderjit, Barkhouse berkata laporan DOJ dapat mengaitkan hubungan antara Low dan entiti luar pesisir.

Ini kata Barhhouse berbeza berbanding analisisnya kerana dia terhad kepada analisis dokumen kewangan yang ada padanya.

Pengarah urusan Quantuma International yang berpangkalan di Cayman juga berkata bahawa dia tidak menemu bual mana-mana pengarah SRC yang berpangkalan di Malaysia berhubung urus niaga ini, kerana analisisnya terhad kepada dokumen kewangan dan korporat.

Perbicaraan kes saman sivil ini berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan bersambung esok.

Dalam tindakan sivil itu, SRC mendakwa bekas menteri kewangan Najib telah melakukan penipuan pelanggaran tugas sebagai penasihat emeritus syarikat ketika itu.

Dakwaan SRC dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan RM4 bilion pinjaman yang diterima daripada KWAP antara 2011 dan 2012.

Melalui tuntutan mahkamah itu, SRC menuntut ganti rugi am dan teladan, serta faedah, kos, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah sivil.

SRC memohon pengisytiharan bahawa Najib perlu bertanggungjawab untuk mengambil kira kerugian firma MOF Inc akibat dakwaan pelanggaran tugasnya.

Plaintif juga memohon perintah supaya Najib membayar balik kerugian AS$1.18 bilion serta membayar balik AS$120 juta yang didakwa diterima bekas perdana menteri itu.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan juga didenda RM50 juta, ihsan pengampunan diraja mengurangkan hukuman awal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

SRC juga telah diperbadankan sebagai syarikat bertujuan khas pada 7 Jan 2011, untuk melabur dalam tenaga konvensional dan boleh diperbaharui, sumber asli dan sektor mineral.

Peguam Kwan Will Sen mewakili Plaintif SRC.

[Baca berita asal]

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular