Tidak semua kejadian banjir yang melanda sepanjang jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpunca daripada pembinaan projek berkenaan, kata pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRl).
"Sebagai pemilik ECRL, MRL amat menghormati akan pandangan yang dilontarkan berkenaan keadaan banjir yang berlaku adalah disebabkan oleh pembinaan projek ECRL.
"Justeru, MRL akan dan sentiasa mengambil tanggungjawab atas sebarang kerosakan yang berlaku jika ia ternyata disebabkan oleh projek ECRL.
"Namun, MRL ingin menegaskan bahawa tidak semua kawasan yang dilanda banjir di sepanjang jajaran ECRL adalah disebabkan oleh pembangunan projek ECRL," katanya dalam kenyataan.
MRL berkata langkah awal telah diambil untuk membantu penduduk yang terjejas.
“MRL akan meneruskan pendekatan proaktif seperti menyediakan pengangkutan dan bekalan makanan kepada mangsa banjir di pusat bantuan banjir dan masjid yang berkenaan serta menyediakan tenaga kerja dan mesin seperti jentera pengorek bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di lokasi-lokasi dilanda banjir,” katanya.
Khamis lalu, penduduk di Kampung Banggol Pak Esah di Pasir Putih, Kelantan mendakwa banjir teruk yang melanda kawasan itu berpunca daripada projek ECRL, menyebabkan air naik terlalu cepat selain lambat surut.
Tinjauan Sinar Harian mendapati air di kawasan sekitar kampung itu mencecah hampir satu meter sehingga menyebabkan penghuni di 10 buah rumah dipindahkan ke masjid dan rumah saudara-mara untuk sementara waktu.
Wakil penduduk, Zizi Mohamed, 52, berkata, ini merupakan kali pertama dia serta keluarga terpaksa berpindah ke masjid selepas rumah dinaiki air.
"Setiap kali musim tengkujuh kawasan ini sentiasa dinaiki air tetapi tidak sedalam, secepat dan lambat surut seperti sekarang sejak projek ECRL dijalankan.
"Keadaan ini membimbangkan kami lebih-lebih lagi apabila hujan lebat tanpa henti," katanya.
Reka bentuk ambil kira sejarah banjir
Sementara itu, MRL berkata reka bentuk bagi projek ECRL telah mengambil kira sejarah kejadian bencana alam seperti banjir melalui kajian yang dilakukan oleh perunding Hidrologi dan Hidraulik.
Katanya, berdasarkan data daripada agensi teknikal, pihak MRL juga mendapati beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu telah dikenal pasti sebagai flood prone area.
"Sehubungan dengan itu, projek ECRL telah mencadangkan reka bentuk yang optimum dengan mengambil kira aspek teknikal, nilai kejuruteraan dan risiko banjir di kawasan-kawasan tertentu di sepanjang jajaran 665 km," katanya.
Selain itu katanya, reka bentuk jajaran ECRL juga mengambil kira kadar hujan 100 tahun dan Climate Change Factor (CCF) serta pembangunan guna tanah di masa hadapan sebanyak 20 peratus sepertimana ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Berdasarkan ini, lintasan laluan air seperti pembentung direka bentuk bagi memastikan laluan air banjir tidak akan menyebabkan banjir teruk di bahagian hulu dan hilir laluan air tersebut. Kesemua reka bentuk ini telah dirujuk kepada pihak JPS untuk kelulusan," katanya.
Tambahnya, jajaran ECRL di Pantai Timur juga adalah selamat dan bebas banjir kerana dibina dengan struktur yang lebih tinggi daripada paras banjir.
Justeru katanya, MRL bersama kontraktor utama projek iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) kekal komited dan mengambil tanggungjawab bagi memastikan tiada kejadian bencana alam seperti banjir di tapak pembinaan dan sentiasa mengutamakan keselamatan orang awam.
Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meminta MRL segera memeriksa kawasan banjir khususnya di Pantai Timur sekiranya bencana itu disebabkan oleh pembinaan laluan ECRL.
"Jadi, kalau mana-mana kawasan yang dikatakan banjir sebab projek ECRL, saya minta pihak MRL untuk turun secepat mungkin dan buat segera kerana kita ada mitigasi bagaimana membuat tebatan banjir supaya isu ini dapat diselesaikan dan meringankan beban rakyat di sekeliling kawasan projek itu,” katanya.