Setiausaha politik menteri kewangan, Kamil Munim berkata tidak timbul isu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaafkan bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.
Kamil mengulas kritikan peguam Latheefa Koya yang menempelak Anwar dengan mengatakan pengerusi PH itu tidak mempunyai kuasa menerima permohonan maaf sedemikian.
“Tidak timbul isu PMX terima maaf atau tidak.
"Apa yang disebut PMX ialah beliau "terima baik" permohonan maaf yang dibuat, dan ternyata tidak mengenepikan malah mengubah fakta bahawa negara telah menanggung beban kerosakan yang besar akibat skandal 1MBD," kata Kamil di laman X.
Semalam, Anwar berkata dia menerima baik permohonan maaf dibuat bekas ahli parlimen Pekan itu.
"Terima baik, terima baik," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu selepas solat Jumaat di Putrajaya.
Bagaimanapun kenyataan itu mendapat kritikan sesetengah pihak dengan Latheefa mengatakan Anwar tidak mempunyai kuasa menerima permohonan maaf sedemikian.
"Bukan urusan dan kuasa PM untuk menerima permohonan maaf sebegitu. Bukan tugasnya.
"Oleh kerana Najib masih menegaskan dia tidak bersalah, penerimaan Anwar itu membenarkan jenayahnya,” kata bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu di laman X.
Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer pula berkata pihaknya bimbang rakyat tidak memaafkan kerajaan sekiranya menerima permohonan maaf daripada bekas perdana menteri itu.
"Kita telah bekerja keras untuk menjadi kerajaan. Saya mahu Anwar terus memimpin negara ini sebagai perdana menteri untuk banyak penggal lagi.
"Saya cuma bimbang jika kita menerima permohonan maaf Najib, rakyat tidak akan memaafkan kita," kata Rayer dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Kamil berkata tiada sesiapa di negara ini dapat mengatasi undang-undang.
"No one is above law. Proses keadilan harus dan mesti ditegakkan," katanya.
Najib dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku semasa pentadbirannya.
Bagaimanapun bekas presiden Umno itu tetap menegaskan dirinya tidak bersalah.
“Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.