Ketika tanda tanya mengenai peletakan jawatan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung PN masih belum terungkai, beredar pula khabar angin mendakwa seorang pagi pemimpin kanan PAS mengambil tindakan sama.
Semalam Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut melepaskan jawatannya dalam PN.
Sebelum ini Takiyuddin merupakan timbalan setiausaha agung kepada PN dan ada suara dari PAS menyarankan agar dia dilantik ke jawatan lebih tinggi - setiausaha agung - kepada gabungan yang melibatkan beberapa parti itu.
Bagaimanapun Takiyuddin menafikan dakwaan dia berundur.
"Tidak benar... Saya masih lagi timbalan setiausaha agung (PN)," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej ringkas malam tadi.
Untuk rekod jawatan Setiausaha Agung PN sempat kosong seketika apabila penyandangnya, Hamzah Zainudin, dilantik menjadi Timbalan Presiden Bersatu dalam pengundian parti itu baru-baru ini.
Ketika itu PAS - melalui suara sayap pemudanya - mencadangkan agar Takiyuddin dilantik menggantikan Hamzah.
Antara lain PAS berhujah, Takiyuddin lebih kanan dan berpengalaman, justeru sesuai diletakkan di posisi tersebut.
Ketika itu sudah disebut-sebut sesetengah pihak bahawa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, bercadang melantik bekas menteri ekonomi kerajaan PH, Azmin Ali, sebagai pengganti Hamzah.
Azmin merupakan Pengerusi PN Selangor.
Pada 10 Dis lalu - atau kira-kira dua minggu selepas PAS membuat cadangan - PN akhirnya mengumumkan Azmin secara rasmi dilantik mengisi tempat ditinggalkan Hamzah. Berita itu kemudian disusuli dengan peletakan jawatan Ahmad Samsuri sehari kemudian.
Dalam pengumuman PN yang dibuat Azmin selaku setiausaha agung, pemimpin Bersatu mengekalkan semua jawatan utama dalam gabungan tersebut.
Selain setiausaha agung, Bersatu juga mengetuai sayap wanita (Mas Eermieyati Samsudin), dan penerangan (Ahmad Faizal Azumu) manakala Hamzah diangkat sebagai salah seorang timbalan pengerusinya.
PAS pula dikekalkan mengetuai sayap pemuda.
Ketika persoalan mengenai punca Ahmad Samsuri berundur dari jawatan kanan dalam PN belum terjawab, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengadakan sidang media di parlimen pada 12 Dis untuk merayu agar PAS tidak 'membakar kelambu' kerana marahkan 'nyamuk'.