Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor menyoal kenapa Kementerian Kesihatan hanya memperhalusi arahan supaya jururawat bekerja tambahan tiga jam seminggu selepas arahan tersebut dikeluarkan.
Wakil rakyat pembangkang itu berkata dia menerima maklumat itu daripada lima organisasi yang mewakili jururawat.
"Kita lihat, ini adalah kita kata hasil daripada merupakan arahan bahawa di bawah sistem SSPA yang memerlukan jururawat di wad hospital berkerja tambahan tiga jam seminggu mulai Dec 1, 2024.
"Yang hairannya kita lihat apabila arahan sudah keluar, barulah kita lihat KKM nak memperhalusi, nak mempertimbangkan. sepatutnya perkara ini sudah pun diperhalusi dan barulah dibuat arahan," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Minggu lalu, Senator Dr RA Lingeshwaran berkata lebih 77,000 jururawat akan terjejas akibat arahan tersebut.
Selain sektor kesihatan, katanya langkah itu turut memberi kesan kepada sektor kritikal lain seperti perkhidmatan kecemasan dan keselamatan.
Sebagai perbandingan, katanya kakitangan kerajaan di pejabat dijangka bekerja 38 jam seminggu.
Sementara itu, Salamiah berkata dia lebih bingung apabila tambahan tiga jam kerja itu digambarkan sebagai "kebajikan."
"Lebih lagi menghairankan bila KKM menyebutkan bahawa tambahan 45 jam berkerja dari 43 jam, dia kata itu adalah 42 jam berkerja, makna tiga jam tambahan sebagai satu kebajikan. jadi di manakah kebajikan yang dinyatakan daripada pihak KKM," soalnya.
Salamiah yang juga pemimpin Muslipat PAS turut berharap Kementerian Kesihatan menangguhkan arahan tersebut sementara ia dikaji semula memandangkan tarikh 1 Disember semakin hampir.
“Kita lihat rayuan-rayuan dan juga cadangan-cadangan daripada persatuan-persatuan jururawat memang sebahagiannya menang tidak setuju dengan arahan baru ini,” katanya.