Tegur berdepan, tak perlu rakam untuk raih populariti – Cuepacs

Shopee Sale

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru semua pihak termasuk pemimpin kerajaan bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha menambahbaik mutu perkhidmatan awam.

Presidennya, Dr Adnan Mat berkata, walaupun nasihat dan kritikan terhadap penjawat awam dialu-alukan, namun perbuatan merakam dan memuat naik sesuatu perkara ke media sosial bukanlah tindakan yang tepat.

“Apatah lagi sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin daripada kerajaan yang turut mempunyai jawatan bagi bersama-sama menyelesaikan permasalahan yang timbul.

"Jika terdapat kelemahan dalam mutu perkhidmatan, tegur dan nasihatlah secara berhadapan. Ia suatu perkara yang wajar dan boleh diterima.

“Tidak perlu sesuatu teguran itu disusuli dengan rakaman yang kemudiannya dimuat naik ke dalam sosial media hanya semata-mata untuk memberi makluman bahawa kita sudah membuat kerja dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak merujuk mana-mana pihak, dipercayai kenyataan tersebut dibuat susulan tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh memuat naik video di media sosial berhubung isu ketiadaan kerusi dan meja di sebuah sekolah agama di Melaka baru-baru ini.

Dalam rakaman itu, Akmal yang juga exco kerajaan negeri dilihat memarahi seorang wakil dari Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dengan mempersoalkan kelewatan pembelian meja dan kerusi berkenaan, walaupun kelulusan telah diberikan lima bulan lalu.

Ia diikuti dengan panggilan telefon kepada pegawai kewangan negeri Melaka, Salhah Salleh bagi mengesahkan kelulusan telah diberikan.

MENARIK:  Veteran Umno terus 'panaskan' isu pemilikan saham MAHB

Mengulas lanjut, Adnan berkata Cuepacs sangat berharap semua pihak tidak menjadikan kelemahan perkhidmatan awam sebagai peluang untuk meraih populariti.

Sebaliknya, kata Adnan semua pihak haruslah bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang timbul.

“Dalam masa yang sama Cuepacs menyeru semua penjawat awam sentiasa meletakkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebagai keutamaan yang tertinggi.

“Rakyat sentiasa menilai setiap perkara dan tetaplah berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara sebagai suatu keutamaan,” tambahnya.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular