Jabatan Penjara Malaysia telah memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula pelaksanaan hukuman adalah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan kematian seorang banduan selepas menjalani hukuman sebat.
Sehingga kini tiada pelanggaran SOP dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan, kata Jabatan Penjara dalam satu kenyataan hari ini.
“Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Ia menambah, susulan daripada bezah siasat awal, kes kematian banduan di Penjara Pokok Sena pada 7 Oktober lalu adalah disebabkan oleh jangkitan kuman di dalam darah.
Jabatan Penjara berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa hukuman sebat yang dijalankan pada 25 Sept lalu adalah dilakukan mengikut SOP dan banduan itu juga telah disahkan sihat dan cergas selepas pemeriksaan rapi oleh pegawai perubatan penjara.
“Selepas menjalani hukuman, banduan tersebut juga telah dirawat dengan rapi termasuk rawatan luka (dressing) setiap hari dan dipantau kesihatan dari semasa ke semasa oleh pegawai perubatan penjara.
“Banduan tersebut telah telah mengadu tidak sihat pada 4 Oktober, iaitu sembilan hari setelah hukuman sebat dijalankan pada 25 September.
“Susulan aduan sakit oleh banduan, pihak penjara terus melakukan pemeriksaan lanjut terhadap banduan melalui rawatan rapi oleh pegawai perubatan.
“Banduan telah dibawa Hospital Sultanah Bahiyah pada 7 Oktober untuk rawatan lanjut namun banduan tersebut telah disahkan meninggal dunia,” kata Jabatan Penjara.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara mengingatkan orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut.
Semalam Malaysiakini melaporkan Suhakam mengesahkan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kematian seorang banduan, yang didakwa berlaku selepas menjalani hukuman sebatan di Penjara Pokok Sena, Kedah.
Menurut laporan yang dilihat Malaysiakini, keluarga Zaidi Abd Hamid, dimaklumkan mengenai kematiannya pada jam 2 pagi, Isnin 7 Okt lalu.
Zaidi, 49, pada mulanya dijatuhi hukuman mati pada 2015.
Bagaimanapun, selepas pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia, hukumannya disemak semula pada 10 Sept dan ditukar kepada penjara selama 33 berserta 12 sebatan.
Laporan itu mendakwa Zaidi mula mengalami pendarahan teruk seminggu selepas hukuman sebatan itu, yang mencemaskan keluarganya, terutama memandangkan dia mempunyai penyakit darah tinggi.
“Isteri Zaidi meminta untuk melawatnya pada 6 Okt lalu tetapi ditolak. Keluarganya sangat risau dengan keadaan Zaidi dan telah meminta pihak penjara menghantarnya ke hospital untuk rawatan perubatan yang sewajarnya.
“Malangnya, pada 7 Oktober kira-kira jam 9 pagi, keluarganya menerima berita kematian Zaidi pada hari yang sama,” kata laporan itu.
Sijil kematian Zaidi, yang juga dilihat oleh Malaysiakini, menyenaraikan punca kematian sebagai "sekuel septik kepada trauma daya tumpul ke kawasan gluteal."