Tragedi Ulu Tiram: Sejarah penglibatan Jemaah Islamiyah di Malaysia

Shopee Sale

PANDUANKINI | Serangan awal pagi di Balai Polis Ulu Tiram di Johor oleh suspek berusia 22 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI) membangkitkan persoalan baru berhubung kewujudan kumpulan pengganas itu - yang telah diharamkan - di Malaysia.

Suspek membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi, sebelum dia ditembak mati.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan penahanan dua pelajar, yang ke balai polis itu tidak lama sebelum serangan tersebut, serta lima ahli keluarga suspek.

Panduankini kali ini menyorot sejarah ringkas JI dan kewujudannya di Malaysia.

Tentang Jemaah Islamiyah

JI adalah kumpulan berkaitan Al-Qaeda di rantau ini dan diasaskan di Malaysia. Ia mula masuk ke Malaysia pada pertengahan 1990-an menerusi penubuhan sekolah pondok.

Matlamat JI adalah untuk mewujudkan apa yang dinamakan sebagai Daulah Islamiyah Nusantara, yang merangkumi Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina.

Kumpulan tersebut telah diharamkan di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Pengasas JI

Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar mengasaskan JI pada 1993, berakar daripada jaringan sekolah Pondok Ngruki sejak 1971.

Mereka mengasaskan JI susulan pertembungan ideologi dengan gerakan Negara Islam Indonesia yang lebih lama yang diketuai Ajengan Masduki.

Abdullah meninggal unia pada 1999 pada usia 62 tahun.

Abu Bakar Bashir

Kajian oleh Fletcher School of Law and Diplomacy di Amerika Syarikat pada 2004 menyatakan Abdullah mendapat inspirasi daripada pemikir yang mengangkat tafsiran agama secara literal, seperti pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb dengan doktrin membenarkan jihad bersenjata terhadap regim yang tidak Islamik.

Sementara itu, Abu Bakar, 85, didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di Bali pada 12 Oktober 2002. Namun, tiada bukti secara langsung yang mengaitkannya dengan insiden itu yang dilaporkan meragut 202 nyawa.

Pada 2011, dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan membuat Latihan separa tentera untuk militant di Aceh. Namun, hukuman penjaranya dikurangkan dan dia dibebaskan pada Januari 2021.

Sebelum penangkapannya, Abu Bakar menghabiskan masa lebih sedekad di Malaysia bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa Indonesia.

Dia Kembali ke Indonesia pada 1999 - selepas era Reformasi republik itu - untuk menubuhkan Majlis Mujahidin Indonesia yang bertujuan melaksanakan undang-undang Islam di Indonesia.

Apa status semasa gerakan JI?

Gerakan JI di Indonesia menjadi begitu lemah sepanjang dekad lalu, menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia Adhe Bhakti.

"Tiada serangan berkaitan JI di Indonesia sejak 15 tahun lalu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Dia berpandangan ia berikutan tindakan yang diambil Indonesia terhadap pemimpin JI, termasuk pengganti terakhir Abu Bakar, Para Wijayanto pada 2019.

Adhe turut yakin yang sebarang anggota atau kumpulan berkaitan JI di Malaysia tiada pertalian dan saki-baki gerakan itu di Indonesia, berdasarkan bukti dokumen daripada perbicaraan dan temu bual dengan anggota dan bekas anggota JI sejak 2014.

Perkaitan di Johor

Abu Bakar dan Abdullah adalah pengasas Madrasah At-Tarbiyyah Al-Islamiyah Luqmanul Hakiem yang terletak di Ulu Tiram di Johor. Madrasah itu tidak lagi beroperasi pada awal 2000-an.

Antara bekas pelajarnya adalah pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia, Noordin Mohd Top yang lahir di Kluang, Johor. Noordin terbunuh ketika serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa Indonesia pada 17 September 2009, atas perananannya di belakang banyak serangan bom di Indonesia pada awal 2000-an.

Turut pernah belajar di sana adalah dua lelaki yang kini ditahan di Guantanamo Bay - warga Indonesia Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, Nazir Lep yang berasal dari Johor. Kedua-duanya ada pengalaman peranang di Afghanistan dan ada pertalian dengan Al-Qaeda.

"Abu Bakar dan Abdullah bersembunyi di Johor. Dari Malaysia, Abu Bakar mengaturkan penghantaran rekrut untuk menyertai peranang di Afghanistan," kata Adhe.

MENARIK:  Tanah Besar China, Taiwan sedarah sedaging - Presiden Xi

Ada tindakan keras di Malaysia?

Buat sekian lama, pihak berkuasa di Malaysia menggunakan undang-undang penahanan tanpa bicara, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), terhadap individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Kesalahan-kesalahan berkaitan turut disentuh bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z, antaranya bagi kesalahan "melakukan, merekrut, menghasut, menggalak, memberi sokongan dan mengarahkan" kegiatan keganasan.

Menurut penganalisis keganasan R Paneir Selvam, serangan di kelab malam Movida di Puchong, Selangor pada 2016 merupakan serangan berprofil tinggi berkaitan keganasan yang terakhir di Malaysia, melibatkan unsur-unsur gerakan Islamic State yang lebih besar.

Ketika itu, 15 individu ditahan, termasuk dua anggot polis, atas dakwaan terlibat dengan kegiatn berkaitan keganasan.

Bagaimana JI dapat bertahan?

Menurut Paneir Selvam, perbezaan kumpulan pengganas dengan jenayah terancang yang lain adalah mereka beroperasi berdasarkan pegangan ideologi yang palsu.

"Ideologi itu tidak mati bersama-sama pemimpin gerakan. Misalnya Osama Bim Laden (Al-Qaeda) mahupun penangkapan pemimpin JI.

"Inilah caranya JI terus bertahan," katanya.

Namun, dia menyifatkan serangan terbaru oleh JI sebagai aneh kerana ia berbeza dengan tindakan-tindakan kumpulan itu sebelum ini yang menyasarkan tempat tarikan umum.

"Bagi saya, tiada sebab yang sah untuk mereka serang sini. Malaysia adalah negara majoriti Muslim.

"Jabatan agama dan agensi keselamatan kita didanai dengan baik oleh kerajaan.

"Jadi, tiada sebab untuk serang di sini, tidak seperti negara Eropah tertentu seperti Perancis - di mana perempuan Islam dilarang memakai hijab dan kadar pengangguran yang tinggi dalam komuniti di sana."

Apa yang mencetuskan serangan di Balai Polis Ulu Tiram?

Razarudin berkata suspek, yang ditembak mati di tempat kejadian, merancang untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis, namun motif sebenar suspek masih belum dapat dipastikan.

Namun Paneir Selvam memaklumkan serangan berkaitan kumpulan pengganas di balai polis turut dilaporkan di Pakistan dan Bangladesh.

Berkenaan kemungkinan sebab serangan dibuat, dia mengesyaki ia mungkin dicetuskan oleh genosid oleh regim Zionis di Gaza, serta retorik bernada perkauman di Malaysia sejak beberapa bulan lalu - mencetuskan tindak balas oleh sel anggota pengganas di sini, termasuk yang ada kaitan dengan JI.

"Mereka hanya perlukan sebab yang dapat meyakinkan mereka untuk bertindak," katanya lagi.

Felo pelawat di S Rajaratnam School of International Studies Singapura, Noor Huda Ismail juga berkata serangan di balai polis hari ini menunjukkan betapa ideologi mampu bertahan.

"Ia menekankan keperluan pendekatan peringkat masyarakat ecara menyeluruh untuk integrasi anggota kumpulan seperti JI dan keluarga mereka," kata warga Indonesia itu.

Katanya lagi, serangan itu seperti sangat dipengerahui perkembangan peringkat global dan serantau, terutama menerusi kaedah serangan berteknologi rendah yang pernah dilihat di tempat lain sebelum ini.

"Fenomena ini menunjukkan kesalinghubungan antara ekstremisme moden dengan kepentingan menangani bukan sahaja kekecewaan peringkat setempat, tetapi landskap ideologi yang lebih luas.

"Amat penting untuk memahami dinamik ini dalam merangka strategi mencegah yang berkesan," katanya lagi.

[Baca berita asal]

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular