Isu penularan video pantai kotor di Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Dalam Rhu di Pasir Puteh di Kota Bharu ialah video lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamaruddin Md Nor berkata isu itu sengaja ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencemarkan imej Kelantan yang sedang melaksanakan Program Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).
“Sebenarnya video itu ditularkankan oleh seorang pempengaruh dan dia sendiri mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membersihkan pantai.
“Apa yang kami tahu ada pihak lain memasukkan semula video lama itu seolah-olah mahu mengenakan atau mencemarkan nama baik individu berkenaan (NGO terlibat),” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur kacang kepada pengguna jalan raya di sekitar Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim yang meminta pihak berkuasa tempatan memberi perhatian isu pantai kotor sempena TMK2024.
“Kami telah membuat pemeriksaan semula di pantai itu dan ternyata video itu satu pembohongan,” katanya.