Bersatu berpendapat wajar untuk parti itu meneruskan tindakan undang-undang ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun parti terbabit secara berterusan.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata hal itu kerana parti terbabit tidak pernah didakwa atas pertuduhan melakukan jenayah.
Dia juga mendakwa bahawa SPRM "keliru" kerana gagal membezakan di antara akaun Bersatu dan akaun presiden parti itu, Muhyiddin Yassin.
Kata Tun Faisal, Bersatu juga berpendapat ada kemungkinan agensi antirasuah terbabit menyalahgunakan proses undang-undang atau kuasa yang menjadi pendorong untuk mereka bertindak ke atas parti.
“Nampaknya SPRM keliru mengenai perbezaan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan akaun Bersatu," katanya dalam kenyataan semalam.
Berita pembekuan akaun parti itu muncul pada awal Feb tahun lalu selepas ia disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kepada Malaysiakini.
Kata Azam pembekuan tersebut dibuat dua minggu sebelum itu bagi memudahkan siasatan SPRM yang dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan. Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Langkah itu mendorong Bersatu mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan mahkamah kerana beranggapan
Muhyiddin mendakwa adalah salah bagi SPRM untuk terus menyekat akses Bersatu kepada akaun-akaunnya selama lebih 12 bulan.
"(Undang-undang) mengatakan mereka hanya boleh menahan dalam hanya tempoh 12 bulan. Itu pun tak patut, tapi lepas tempoh 12 bulan mereka masih terus bekukan akaun.
"Kita berpendapat bahawa ini tindakan yang menyalahi undang undang. Malahan dilihat sebagai salah guna kuasa," dakwa bekas perdana menteri itu pada 1 Dis lalu.
Sehari kemudian SPRM menegaskan mereka tidak bertindak melulu apabila membekukan akaun Bersatu sebaliknya mengikut Seksyen 50(1) Akta 613.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata sitaan dibuat kerana ia terkait dengan siasatan serta pendakwaan, dan tidak boleh dilepaskan sehingga perbicaraan selesai.
Berkenaan tempoh pembekuan, Wan Shaharuddin berkata ia tertakluk kepada seksyen 52A akta yang sama.
Kata Tun Faisal tarikh SPRM mengeluarkan perintah pembekuan ke atas akaun Bersatu ialah pada 12 Jan dan 13 Jan 2023. Justeru kata bekas timbalan ketua Umno Putrajaya itu lagi, pembekuan itu sepatutnya tamat pada 12 Jan dan 13 Jan tahun ini.
Sepanjang tempoh itu, katanya lagi, Bersatu tidak pernah didakwa atau disabitkan dengan sebarang kesalahan mengikut Akta 613, malah tiada permohonan pelucutan hak dibuat oleh SPRM terhadap parti tersebut.
"Tindakan menyita akaun Bersatu untuk tempoh yang terlalu panjang ini adalah zalim dan menyalahi proses undang-undang.
"Atas sebab itu memang wajar untuk peguam Bersatu meneruskan tindakan undang-undang ke atas SPRM agar kezaliman ini dapat dihentikan," katanya.