ULASAN | Dalam program Bicara Merdeka yang diadakan di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada pada 24 Ogos lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengeluarkan satu pandangan yang boleh dianggap mencabar Perlembagaan Persekutuan.
Dia dipetik sebagai berkata: "Betapa terbelenggunya orang Melayu Islam sehingga apa yang dilakukan pada zaman penjajah dulu masih berterusan.
“(Zaman) penjajah dulu kita bebas untuk menegur pemimpin, menegur raja dan menegur siapa sahaja, nasihat menasihati. Sekarang ini tak boleh, di mana orang putih dulu menggunakan alasan kalau lawan British, (dianggap) lawan raja.
"Raja jadi perisai mereka (sedangkan) raja tak tahu apa pun. Sekarang ini 3R. 3R ni ke arah itu, tak boleh (tegur pemimpin), raja jadi perisai. Dulu orang putih jadikan raja ni perisai. Kalau lawan British, (bermakna) lawan raja.
"Sekarang ni kalau lawan kerajaan, (dianggap) lawan raja, dihidupkan balik (amalan British). Ini menyebabkan kita terbelenggu. Jadi kita tak merdeka selagi tak pecahkan masalah-masalah yang seperti ini.”
Abdul Hadi yang cuba diberikan sifat seorang negarawan setaraf Dr Mahathir Mohamad dalam program itu telah menyanggahi kata-katanya selang beberapa detik sahaja.
Awalnya dia mengatakan zaman penjajah dahulu kita bebas untuk menegur pemimpin, menegur raja dan menegur siapa sahaja.
Selang satu ayat, Abdul Hadi mengatakan sebaliknya pula iaitu “orang putih dahulu menggunakan alasan kalau lawan British (dianggap) lawan raja”.
Perlembagaan junjung demokrasi
Kita hairan apa yang sebenarnya ingin diberitahu Abdul Hadi? Zaman penjajah dahulu rakyat bebas menegur pemimpin, atau zaman dahulu rakyat tidak boleh menegur pemimpin (penjajah) kerana akan dianggap melawan raja?
Percanggahan dengan dirinya sendiri dalam beberapa detik saja itu menunjukkan dakwaan tersebut mungkin mengarut atau rekaannya saja iaitu tanpa rujukan kepada mana-mana sumber sejarah.
Dari sudut pandang lain, kita boleh melihat Abdul Hadi cuba mempertahankan rakan kongsinya di dalam PN iaitu Muhyiddin Yasin yang menghadapi pendakwaan mengikut Akta Hasutan selepas dituduh mempertikai perananan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pelantikan Anwar Ibrahim.
Semasa berkempen di Nenggiri, Muhyiddin dianggap memperlekeh Agong kerana tidak melantiknya sebagai perdana menteri ke-10.
Untuk rekod, pada Mac 2023 Abdul Hadi juga pernah mempertikai titah nasihat Agong supaya semua pihak menstabilkan kerajaan apabila mengatakan “kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak qat’ie, tidak menjadi kata putus yang menghalang untuk perubahan dalam negara demokrasi.
"Mengikut (prinsip) raja berperlembagaan, raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita menjunjung demokrasi” pada Mac 2023.
Kenyataan Abdul Hadi itu sangat biadab dan merendah-rendahkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara bagi menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun negara ini negara demokratik yang ditadbir menurut keluhuran perlembagaan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai salah seorang raja-raja Melayu tidak seperti rakyat kebanyakan.
Perkara 181 (1) menyatakan: “Tertakluk kepada peruntukan perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa pembesar-pembesar memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.”
Rasa amat dukacita
Perkara 3 (2) pula menegaskan: “Di dalam tiap-tiap negeri selain negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, kedudukan raja sebagai ketua agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh perlembagaan negeri itu, dan - tertakluk kepada perlembagaan itu - segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat.”
Sangat tidak wajar dan memalukan apabila seorang ahli parlimen selama 34 tahun seperti Abdul Hadi tidak menghormati dan gagal memahami kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara dan ketua agama Islam.
Walaupun Abdul Hadi mempertikai titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan alasan baginda berada di bawah perlembagaan, pendirian Abdul Hadi terhadap perlembagaan itu sendiri tidak konsisten.
Untuk mempertikai Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi berkata perlembagaan lebih tinggi. Tetapi Abdul Hadi juga berpendirian perlembagaan negara ini tidak perlu ditaati kerana ia dicipta atau digubal oleh Inggeris.
Dalam surat yang diutuskan Sultan Selangor kepada Pesuruhjaya PAS Selangor pada 27 Feb 2024, baginda melahirkan rasa amat dukacita terhadap Abdul Hadi kerana menuduh raja-raja Melayu tidak berwawasan akhirat.
Dalam surat yang sama baginda mencatat: "Kenyataan Abdul Hadi mengkritik hakim yang dikatakan gagal mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar dan kononnya dicipta dan digubal oleh penjajah mengikut acuan mereka dengan tujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air.”
Warkah Sultan Selangor itu adalah rentetan kenyataan Abdul Hadi di laman web partinya yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen, dan Adun serta raja-raja Melayu sejurus selepas hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2019 bercanggah dengan perlembagaan.
Abdul Hadi sering menganggap dan menyebarkan dakyah bahawa perlembagaan negara ini dicipta dan digubal penjajah. Hal itu mungkin kerana Abdul Hadi keliru dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang diperkenalkan British rentetan kegagalan Malayan Union akibat tentangan sengit orang Melayu.
Tuntutan pelbagai kaum
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 tawaran British itu juga gagal kerana kaum bukan Melayu pula menentang dengan hebat kerana ia memberi perlindungan kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan mengetatkan syarat kerakyatan.
Selepas Parti Perikatan (gabungan Umno, MCA dan MIC) memenangi pilihan raya Persekutuan pada 1955, gelombang menuntut kemerdekaan semakin kuat.
Ia bertepatan dengan manifesto Parti Perikatan yang berjanji untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dalam masa empat tahun.
Pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Alan Lennox-Boyd, pada 22 Ogos 1955, membawa kepada perbincangan yang lebih serius tentang kemerdekaan Tanah Melayu di antara delegasi Kuala Lumpur dengan kerajaan British di London pada 18 Jan hingga 6 Feb 1956.
Persidangan selama hampir 20 hari itu telah membuahkan hasil apabila British bersetuju mengiktiraf Tanah Melayu sebagai full self-government dan bersetuju menubuhkan suruhanjaya bebas seperti tuntutan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.
Pada Mac 1956, satu suruhanjaya bebas dibentuk dan dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Melalui memorandum-memorandum (sebanyak 131 semuanya) yang dihantar oleh individu dan pertubuhan, suruhanjaya tersebut menghadapi tuntutan pelbagai kaum dalam empat isu utama iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Isu kerakyatan (berdasarkan prinsip jus soli dalam gagasan Malayan Union) dan kedudukan istimewa orang Melayu banyak menimbulkan ketegangan hubungan kaum semasa proses rundingan berlangsung.
Usaha British untuk mencari penyelesaian tuntutan kaum tersebut telah dimulakan sejak 1949 lagi dengan penubuhan Communities Liaison Committee.
Selepas itu Parti Perikatan yang ditubuhkan secara rasmi pada 1954 juga memulakan usaha penyelesaian secara serius melalui Manifesto Perikatan pada 1955, dan melalui Memorandum Perikatan pada 1956.
Ia berjaya dimuktamadkan pada 1956 melalui Persidangan London.
Majlis Raja-raja Melayu telah memberikan persetujuan rasmi terhadap draf Perlembagaan Merdeka pada 27 Jun 1957. Draf tersebut kemudian diluluskan dengan sebulat suara oleh semua perwakilan di Dewan Undangan Persekutuan pada 11 Julai 1957.
Dengan persetujuan Majlis Raja-raja, Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Jadi bagaimanakah boleh dikatakan Perlembagaan Persekutuan dicipta dan digubal oleh British sedangkan ia terbentuk melalui rundingan, memorandum, perbincangan sebelum persetujuan dimuktamadkan oleh semua kaum secara syura?
Bayangkan jika sejarah diseleweng
Tidak dapat dipastikan di manakah sumber rujukan Abdul Hadi yang menuduh perlembagaan itu dicipta dan digubal penjajah.
Kepercayaan kepada dakwaan yang salah itulah yang menjerumuskan Abdul Hadi dan pengikut PAS kepada fahaman ekstrem yang menolak atau tidak menghormati perlembagaan.
Walaupun perlembagaan itu mungkin tidak menepati ajaran Islam sepenuhnya, namun ia adalah dokumen perjanjian dan kontrak yang telah dipersetujui semua kaum sejak merdeka.
Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Rasulullah SAW dengan Quraisy pada tahun keenam Hijrah juga tidak Islamik sepenuhnya kerana terdapat perjanjian yang berat sebelah.
Namun Rasulullah tidak pernah menolak atau melanggar perjanjian yang telah ditandatangani tersebut. Baginda juga telah memeterai perjanjian yang diangkat menjadi Perlembagaan Madinah untuk mengurus masyarakat Madinah yang pelbagai kaum dan agama, walaupun al-Quran dan al-Sunnah telah wujud.
Justeru kenyataan-kenyataan menyeleweng daripada fakta sejarah seperti yang sering diucap oleh Abdul Hadi - dan dipercayai para pengikutnya - haruslah dibanteras dengan tegas.
Bayangkan kalau kaum lain cuba menyelewengkan fakta sejarah perlembagaan demi kepentingan kaum mereka, apakah reaksi kaum Melayu?
Kewujudan Akta Hasutan untuk melindungi negara daripada perpecahan akibat isu agama, kaum dan raja (3R) dibangkitkan adalah sah menurut Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan seperti dimuktamadkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Fasal 2, 3 dan 4.
Fasal 4 Perkara 10 menyatakan: “Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah perenggan (a) Fasal (2), parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.”
Perkara 10 Fasal 4 itu termasuklah perkara yang tidak boleh dipinda atau diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.
Menurut Perkara 159 (Pindaan Perlembagaan), Fasal 5 menyatakan: “Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, Fasal (4) Perkara 63, Perkara 70, Fasal (1) Perkara 71, Fasal (4) Perkara 72, Perkara 152, atau 153 atau kepada fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.”
Nampaknya Abdul Hadi adalah seorang ahli parlimen yang tidak menguasai makna dan maksud Perlembagaan Persekutuan apabila sering bercakap perkara-perkara yang sensitif dan dilindungi tanpa boleh dipinda.
Kewujudan anasir agamawan yang kononnya alim ilmu Islam tetapi tidak memahami fiqh al-waqi’ (realiti negara) ini telah menimbulkan banyak masalah kepada negara dan masyarakatnya yang pelbagai kaum di bawah naungan raja berdaulat.
Justeru kerajaan haruslah berusaha menerapkan kefahaman dan penghayatan tentang kontrak perlembagaan kepada semua lapisan masyarakat melalui pelbagai saluran pendidikan sama ada di sekolah, universiti atau media massa.
Selain itu, tindakan tegas mestilah dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mempunyai kecenderungan menghasut seperti mengatakan perlembagaan negara dicipta dan digubal penjajah, atau mendakwa kenyataan Agong tidak qat’ie dalam memberikan titah nasihat kepada rakyat.
ALI MUDA ialah Pengarah Bahagian Hubungan Agama dan Kaum Jabatan Komunikasi Komuniti.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.