ULASAN | Pada Khamis Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, mengumumkan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi 2025 semasa majlis perutusan tahun baru di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
Ia diperkenalkan untuk menangani isu-isu kritikal dalam sektor pendidikan tinggi di Malaysia serta mewujudkan hala tuju yang lebih kukuh serta dinamik untuk masa depan.
Pengenalan agenda-agenda itu mencerminkan pengalaman luas Zambry dalam bidang pendidikan tinggi yang membolehkan dia mengenal pasti cabaran utama sektor berkaitan dan merangka penyelesaian strategik dan berwawasan.
Setiap satu agenda itu diperkenalkan bagi menangani masalah semasa yang dihadapi dan hasil daripada pelaksanaannya diyakini akan membantu mengatasi isu tersebut.
Ia juga merupakan inisiatif yang sudah lama dinantikan oleh pelbagai pihak berkepentingan. Pelan berkenaan adalah hasil daripada libat urus meluas menteri dengan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pelajar, industri, dan agensi berkaitan.
Agenda 1: Kaji semula kenaikan pangkat
Masalah: Aturan semasa bagi kenaikan pangkat di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak adil kepada individu yang berkhidmat di luar kampus, seperti di agensi dan jabatan lain dalam perkhidmatan awam.
Mereka sering tidak mendapat pengiktirafan bagi pengalaman kerja dan tahap senioriti mereka.
Penyelesaian: KPT akan menyusun semula sistem kenaikan pangkat untuk memastikan keadilan bagi kakitangan yang berkhidmat di luar kampus. Langkah ini akan mengiktiraf sumbangan mereka, sekali gus meningkatkan moral dan motivasi.
Hasil diharapkan: Pengiktirafan pengalaman kerja yang lebih menyeluruh dan adil akan mendorong lebih ramai individu mengambil perananan di luar kampus tanpa rasa terpinggir.
Agenda 2: Kenaikan pangkat ahli akademik IPT
Masalah: Terdapat perbezaan ketara dalam dasar kenaikan pangkat antara IPT yang menimbulkan ketidakpuasan hati dan ketidaksamarataan dalam kalangan ahli akademik.
Penyelesaian: Penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji semula dasar kenaikan pangkat ahli akademik supaya wujud penyeragaman antara IPT.
Hasil diharapkan: Dasar kenaikan pangkat yang lebih seragam dan adil, meningkatkan motivasi dan daya saing dalam kalangan ahli akademik.
Agenda 3: Kebebasan bersuara di universiti
Masalah: Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 atau Akta 605 menyekat kebebasan bersuara ahli akademik di universiti awam, terutamanya dalam bidang kepakaran mereka.
Penyelesaian: KPT akan memohon pengecualian universiti awam daripada Akta 605 bagi membolehkan ahli akademik menyuarakan pandangan berdasarkan kepakaran masing-masing.
Hasil diharapkan: Persekitaran akademik yang lebih bebas dan progresif, memupuk pemikiran kritis dan inovasi.
Agenda 4: Kaji semula Akta IPTS 1996 (Akta 555)
Masalah: Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) tidak lagi relevan dengan keperluan sektor pendidikan tinggi swasta yang sedang berkembang pesat.
Penyelesaian: Kajian menyeluruh terhadap Akta 555 dengan penglibatan pihak berkepentingan seperti institusi, pelajar, dan industri.
Hasil diharapkan: Akta yang lebih relevan dan berkesan dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi swasta.
Agenda 5: Pindaan Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti
Masalah: Tadbir urus politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) tidak mempunyai struktur kuasa yang jelas, menyukarkan pertumbuhan institusi tersebut.
Penyelesaian: Pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) untuk memperkukuh tadbir urus dan menjadikan POLYCC lebih dinamik.
Hasil diharapkan: POLYCC sebagai institusi berteraskan TVET yang lebih unggul dan teratur.
Agenda 6: Mewujudkan unit RDICE di setiap IPT
Masalah: Kurangnya kerjasama antara akademia dan industri, yang menyebabkan peluang pemindahan teknologi dan pembangunan syarikat pemula tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Penyelesaian: Penubuhan Unit Research, Development, Innovation, Commercialization, and Entrepreneurship (RDICE) di setiap IPT.
Hasil diharapkan: Kerjasama yang lebih erat antara akademia dan industri, mempercepatkan inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Agenda 7: Mengkaji beban kerja ahli akademik
Masalah: Ahli akademik menghadapi beban kerja yang tinggi, termasuk keperluan clock in yang tidak fleksibel, mengganggu keseimbangan kerja dan kehidupan.
Penyelesaian: Penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji isu ini dan mencadangkan langkah-langkah fleksibiliti kerja.
Hasil diharapkan: Peningkatan produktiviti dan kesejahteraan ahli akademik melalui sistem kerja yang lebih fleksibel.
Agenda 8: IPT di bawah kerajaan negeri
Masalah: Kerjasama antara IPT negeri (IPTN) dengan KPT dan IPT lain kurang tersusun, mengakibatkan potensi yang tidak dimanfaatkan.
Penyelesaian: Kajian semula kedudukan dan kerjasama IPTN dengan pihak berkaitan.
Hasil diharapkan: Kerjasama yang lebih strategik dan berkesan antara IPTN dan KPT.
Agenda 9: Struktur semula pejabat Education Malaysia (EM)
Masalah: Struktur semasa Pejabat EM tidak lagi bersesuaian dengan jumlah pelajar Malaysia di luar negara.
Penyelesaian: Penyusunan semula Pejabat EM untuk meningkatkan kecekapan dan hubungan strategik Malaysia dengan negara lain.
Hasil diharapkan: Perkhidmatan sokongan yang lebih baik untuk pelajar dan pengukuhan hubungan antarabangsa.
Agenda 10: Pemusatan kemasukan pelajar antarabangsa
Masalah: Proses kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia tidak seragam dan terdedah kepada isu ketulenan dokumen.
Penyelesaian: Membangunkan sistem pemusatan untuk memastikan dokumen sahih dan setaraf.
Hasil diharapkan: Proses kemasukan yang lebih lancar dan telus, meningkatkan daya tarik Malaysia sebagai destinasi pendidikan.
Dengan pelaksanaan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi 2025 ini, sektor pendidikan tinggi Malaysia dijangka akan mencapai tahap baru yang lebih cemerlang dan mampu bersaing di peringkat global.
Lebih penting lagi, agenda-agenda tersebut akan membantu mencapai prinsip Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam usaha membina sebuah negara yang lebih progresif, inklusif dan harmoni.
PROF RUSDI OMAR ialah dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.