Abdul Hadi Awang memang sudah terlalu tua untuk disedarkan atau dapat berubah. Ibarat pepatah orang tua-tua, “rebung dah jadi buluh”—yang lembut sudah pun keras kematu.
Sejak muda usianya pun, Hadi terbiasa dan enak untuk mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan. Dalam sejarahnya, generasi hari ini boleh merujuk dokumen yang dikenali sebagai “Amanat Hadi” yang mempertimbang sikap melampau dan keras presiden PAS itu.
Pada usia yang sudah lanjut, perkara sama tetap dilakukan, berulang-ulang dan tanpa segan silu. Minggu lalu kita dengar yang Hadi melabelkan lawan politiknya sebagai “lebih daripada Dajal” pula.
Tindakan cop-mengecop orang lain, di dalam metodologi pengajian Islam, ada apa yang disebut sebagai “takfiri.” Dan takfiri di dalam pengajian politik moden tidak lebih hanyalah sebahagian daripada “politik ketakutan.”
Tujuan politik ketakutan adalah untuk menimbulkan keresahan masyarakat. Ciri utama politik ketakutan ialah dengan melebih-lebihkan sesuatu ‘masalah’ agar timbul rasa cemas yang pada akhirnya menjadikan masyarakat hilang daya fikir kritis dan waras. Di situlah nantinya, masyarakat jadi lemah sebelum tunduk menyerah kepada pihak penyebar rasa takut.
Penyerahan itu pula bukan sahaja kepada perkara-perkara yang bersangkutan dengan politik, tapi sampai hal-hal yang bersifat peribadi seperti dosa-pahala. Di sana, orang politik yang memakai gelar ustaz atau ulama dianggap sebagai juru selamat, yang menentukan seseorang layak ke syurga atau neraka.
Seperti pandangan pengamat dan profesor bidang sejarahwan Islam dari Amerika Syarikat, Ahmat T Kuru; kemunduran Muslim ratusan tahun sering bermula daripada persekongkolan agamawan dengan kuasa politik.
Semua pasti masih ingat, hanya beberapa bulan lalu tatkala nilai Ringgit terjejas, maka kelompok yang mengamalkan politik ketakutan menggambarkan seakan-akan Malaysia akan luluh lantak esok pagi sebelum subuh. Sementara hari ini apabila Ringgit mengukuh sehingga ke paras bawah 4.3 berbanding USD, pemimpin Perikatan Nasional (PN) terus mengulang-ulang di dalam ucapan yang Ringgit masih lemah.
Puak pembangkang nampaknya terus terperanangkap di dalam kapsul waktu tiga-empat bulan lalu.
Politik ketakutan memang akan menggempar apa sahaja yang boleh digempar. Begitu juga dengan banyaknya isu-isu ekonomi yang sudah banyak berkembang dalam tempoh singkat, tapi tidak dikemas-kini dalam fikiran mereka.
Kekurangan beras tempatan sudah diatasi; perihal BlackRock sudah jelas dan tiada kaitan dengan pendirian teguh Malaysia membela nasib rakyat Palestin; pelaburan langsung asing menderu masuk; harga getah dan kelapa sawit meningkat; gula tidak kurang lagi di kedai- kedai runcit; harga barangan mulai dapat diredam; KDNK diluar jangka, dan banyak lagi perkembangan positif ketimbang keadaan ekonomi sewaktu PN tinggalkan selepas PRU lalu.
Niat pembangkang yang menyebar ketakutan dan panik bukanlah untuk memperbaiki keadaan. Pihak pembangkang hanya menunggu-nunggu kerajaan termakan umpan, sebelum kemudiannya dapat dipaksa menari mengikut rentak sumbang mereka.
Bayangkanlah kalau diikut cadangan seorang anggota parlimen dari Kelantan agar wang dicetak bagi melawan inflasi, sudah pasti tahap Ringgit hari ini sangat lemah dengan harga barangan jadi tidak terkawal. Justeru politik ketakutan bukanlah sebuah kritik jujur yang layak dipertimbangkan, melainkan sejenis hasutan untuk memporak-peranandakan keadaan meski dengan menjahanamkan rakyat dan negara.
Ada sebuah kajian yang diterbitkan sebagai buku oleh seorang profesor dari UK, Ruth Wodak yang menyentuh langsung dan menjelaskan perihal politik ketakutan. Tajuk buku yang pertama kali terbit pada 2015 itu saya terjemah sebagai “Politik Ketakutan: Normalisasi Tanpa Silu Dengan Perbincangan Pelampau-Kanan.”
Menurut Ruth, golongan pelampau yang menjadikan ketakutan sebagai senjata politik akan menyasarkan beberapa kelompok masyarakat yang berpotensi diperanangkap pemikiran mereka. Antaranya ialah kelompok miskin, yang tidak memiliki rumah, tiada pekerjaan, pengemis, sang pemalas, dan yang datang daripada pendalaman atau kawasan yang mundur.
Mahathirirologi kini imam Hadi
Ciri-ciri tersebut mirip sekali dengan kenyataan Hadi ketika Muktamar PAS 2022, di mana baginya PAS perlu meluaskan pengaruh di kalangan anak-anak muda yang jahil agama dan politik. Hadi yakin bahawa golongan jahil itu bukan sahaja mudah dipengaruh, diperodoh dan ditunggangi, namun itulah majoriti yang semalam dan esok akan memenangkan PAS-PN.
Kepercayaan Hadi saling tak tumpah dengan akal mantan PM Dr Mahathir Mohamad. Beliau cukup arif menggunakan politik ketakutan dengan menggertak orang Melayu bahawa bangsa asing akan menguasai Malaysia, atau konon ada negara jiran yang harus dimusuhi kerana pemimpinnya Cina yang merampas tanah air kita. Mahathirirologi kini menjadi iman politik Hadi.
Dan di mana pun di dunia, politik ketakutan akan memainkan tiga unsur utama yang menyentuh sentimen agama, pribumi dan nasionalisme sempit. Keadaan seumpama bukanlah perkara baru kerana sejak dahulu pun kita selalu mendengar slogan parti-parti politik kanan yang menyebutkan asas perjuangan demi “alif-ba-ta”; yang bermaksud “agama-bangsa-tanah air.”
Sentimen alif-ba-ta itu jugalah yang digunakan untuk menyelimuti kejahatan, rasuah dan kecuaian para pemimpin mereka adanya. Keadaan sedemikian samalah ketika wujud elit politik yang menjadikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai lombong emas merompak serta memperkaya diri sendiri. Sedangkan umumnya Melayu terus terabai.
Amat menyedihkan apabila kenyataan di mana semakin kuat teriakan Melayu-Islam di sesebuah negeri dimainkan, ternyata semakin miskin dan ketinggalan negeri berkenaan.
Dan demi alif-ba-ta ternyata juga wujud di beberapa negara lain dengan wajah bengis yang sama. Misalnya di Myanmar ketika pengapusan ras Rohingya oleh majoriti pribumi Bamar- Buddha. Juga beberapa tahun lalu muncul gagasan “Dekad Hindu” dilaungkan oleh puak majoriti pelampau kanan di India yang mengaitkan kebangkitan bangsa mereka dengan Hinduisme.
Dua tiga minggu lalu, Di UK muncul protes kaum kulit putih England yang menganjurkan demonstrasi kebencian dengan menyasarkan orang luar, khususnya masyarakat Muslim.
Sebelumnya tersebar khabar angin atas serangan pisau yang mengorbankan dua remaja perempuan kulit putih 17 tahun ketika berlatih tarian dan yoga di sebuah kawasan kejiranan Barat Laut England. Sebelas kanak-kanak yang lain dilaporkan cedera.
Tersebar khabar angin yang pelakunya konon seorang remaja Muslim. Apabila siasatan dan pendedahan dibuat oleh polis, ternyata remaja yang disyaki bukanlah Muslim, melainkan remaja bernama Axel Muganwa Rudakubana yang juga warganegara Britain, yang lahir di Wales.
Sebenarnya kita boleh memahami bahawa ketakutan yang cuba dicetuskan itu ada kaitan dengan strategi puak pelampau kanan dan rasis yang tempohari kalah di dalam pilihan raya.
Parti Buruh baru sahaja kembali memenangi pilihan raya UK selepas 14 tahun, dengan Keir Starmer dilantik sebagai PM menggantikan Rishi Sunak daripada Parti Konservatif.
Sepertimana di UK, apakah puak pelampau alif-ba-ta di negara kita rela menerima begitu sahaja Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri? Terlebih lagi, Anwar datangnya bukan daripada parti satu kaum, dan tidaklah realiti Malaysia baru ini bakal memecahkan mitos konon hanya parti satu kaum yang boleh menjadi pemimpin tertinggi serta membela nasib Melayu?
Mereka sangat bimbang sekiranya Anwar berjaya dengan cemerlang, maka politik alif-ba-ta yang sempit akan pecah bilamana orang-orang Melayu menyedari yang selama ini mereka telah dimomok atau ditakut-takutkan dengan pelbagai bayangan hitam agama, kaum serta sentimen sepit kenegerian yang sia-sia.
Sebelum orang Melayu benar-benar menyedarinya, maka giat dijalan aksi pembodohan dan kembali menakut-nakutkan kononnya “Melayu terpinggir,” “Islam terancam,” atau sekurang-kurangnya ‘kafir’ dan ‘dajal’ yang jadi musuh politik Hadi, juga wajib menjadi musuh kepada seluruh orang Melayu-Muslim di negara ini.
Awan hitam pasti berlalu dengan semuanya boleh dijernihkan dengan hujah dan ilmu, kewarasan dan keinsafan. Hanya itu cara melawan secara padu narasi puluhan tahun yang sesungguhnya telah merugikan rakyat dan negara, terlebih lagi kepada bangsa Melayu itu sendiri.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.